Rakan Sekutu yang juga Naib Presiden Kanan Mobiliti, Vivek Vaidya berkata, faktor utama yang membantu pertumbuhan pasaran automatif tempatan tahun ini adalah pertumbuhan penggunaan domestik dan sektor swasta selain model baharu yang dilancarkan.

“Terdapat pelancaran produk yang menarik seperti Perodua Aruz dan Toyota Yaris, sementara Proton X70 yang dilancarkan pada suku keempat tahun lalu nampaknya sedang mendapat momentum yang berkemungkinan menyumbang kepada pertumbuhan 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada taklimat Prospek Pasaran Automotif Malaysia di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, pe­ngurangan dalam perbelanjaan infrastruktur awam dan sektor luaran yang lemah akan menjadi antara penghalang tahun ini yang perlu ditangani melalui sentimen pengguna yang positif bagi membolehkan industri ini terus berada dalam landasan pertumbuhan.

“Walaupun hutang isi rumah akan menyebabkan perbelanjaan yang berhati-hati, jangkaan pertumbuhan upah berkemungkinan memberikan pengimbang diperlukan,” katanya.

Katanya, jualan kenderaan pada 2018 meningkat 4.2 peratus kepada 601,300 unit yang didorong oleh peningkatan dalam keyakinan pengguna dan cuti cukai selama tiga bulan berikutan penghapusan cukai barang dan perkhidmatan pada Jun.

“Kebiasaannya, selepas tempoh cuti cukai, jumlah jualan akan susut pada suku berikutnya, tetapi pada 2018, sentimen pengguna yang kukuh memastikan jumlah jualan pada suku keempat menyamai angka tahun sebelumnya untuk meng­akhiri tahun kewangan dalam nada yang positif,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tekanan inflasi dan kelulusan pinjaman yang ketat terus menghalang jualan kenderaan.

Vaidya menjelaskan, jualan kenderaan penumpang mence­cah 536,371 unit tahun lepas disokong oleh permintaan yang kukuh segmen ini dan kemunculan semula segmen kenderaan sukan utiliti (SUV) yang berada pada harga segmen kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Segmen MPV susut walaupun model baharu dilancarkan tahun lepas dan aliran ini dijangka berterusan tahun ini dengan lebih banyak pelancaran SUV,” katanya.

Tambah beliau, pasaran kenderaan penumpang domestik akan terus bertumpu kepada tiga pengeluar kereta utama ia­itu Perodua, Honda dan Proton yang membentuk 73.4 peratus penguasaan pasaran.

Sementara itu, katanya, segmen kenderaan komersial juga melonjak dalam aliran menurun berkenaan untuk mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 4.8 peratus tahun lepas.

Katanya, pertumbuhan segmen kenderaan komersial dibantu oleh prestasi kukuh segmen pikap selain trak.