Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Amin Jaffri berkata, hasil pelupusan tanah di Kedah itu akan mewujudkan modal dan menjana tunai bagi peran­cangan pembangunan konglomerat hartanah­ itu pada masa hadapan.

Katanya, aset tanah di Kedah itu terletak dalam kawasan berhasil rendah dan di luar kawasan projek Sime Darby Pro­perty.

“Bukan mudah untuk mencari pembeli yang bersedia untuk membeli keselu­ruhan tanah sekali gus dan tanah ini juga ada di beberapa tempat.

“Lebih baik melupuskan tanah bukan teras tersebut kerana tidak memberikan keuntungan jika terus memilikinya.

Wang yang diperoleh hasil jualan itu boleh digunakan sebagai modal pelaburan di Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan prestasi suku kedua Sime Darby Property yang ber­akhir pada 30 Jun 2019 di sini semalam.

Keuntungan bersih Sime Darby Pro­perty bagi tempoh tersebut me­ningkat ­kira-kira empat kali ganda kepada­ RM205.3 juta berbanding jumlah yang direkodkan bagi suku yang sama tahun lepas.

Ia didorong oleh kerugian yang lebih rendah bagi segmen tertentu dan pelupusan tanah di Selarong, Kedah yang bernilai RM81.1 juta.

Perolehan kumpulan bagi tempoh itu pula meningkat 40.3 peratus kepada RM865.9 juta berban­ding RM617.4 bagi pada tahun lalu.

Pada separuh pertama 2019, pemaju hartanah itu mencatatkan jualan RM1.4 bilion, meningkat 20.3 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dan jualan belum dibilkan berjumlah RM1.5 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Transformasi Sime Darby Pro­perty, Fairuz Radi menjelaskan, pemaju hartanah itu komited melaksanakan pelan transformasi dengan memberi tumpuan dalam pembangunan segmen perindustrian dan logistik bagi meningkatkan keuntungan dan asas pendapatan berulang pada masa depan.

Jelas beliau, pihak syarikat menyasarkan asas pendapatan berulang mening­kat kepada 10 peratus menjelang 2023 berikutan pengembangan dalam pemba­ngunan perindustrian dan logistik.

“Pembangunan segmen tersebut akan menyumbang kepada pendapatan ber­ulang pada masa depan. Kami menyasarkan pendapatan berulang 10 peratus menjelang 2023,” katanya.