Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) berkata, pertambahan statistik ini disebabkan permintaan global yang semakin kukuh.

Presidennya, Denis Low Jau Foo berkata, permintaan global untuk sarung tangan getah dijangka meningkat kepada 268 bilion ke­ping tahun ini berbanding 232.2 bilion pada 2017.

“Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai destinasi eksport sarung tangan getah terbesar Malaysia yang menyumbang 36 peratus daripada jumlah eksport dan di­ikuti dengan Kesatuan Eropah (30 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita mengenai perkembangan industri sarung tangan getah serta Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Ke-9 (IRGCE) 2018 di sini semalam.

Denis menjelaskan, meskipun gabungan China dan India hanya menyumbang sebanyak lapan peratus untuk eksport sarung tangan getah tetapi Asia dilihat sebagai pasaran berpotensi menjana pertumbuhan besar kerana penduduknya semakin meningkat.

Melangkah ke hadapan, beliau menjangkakan, harga getah asli akan melonjak antara lima hingga 10 peratus menjelang akhir tahun ini akibat musim monsun yang akan mengekang pengeluaran.

Tambah Denis, purata pengeluaran getah asli Malaysia ialah 750,000 tan metrik setahun dan negara ini adalah antara lima pengeluar getah asli utama dunia.

Sementara itu, IRGCE bakal dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 4 hingga 6 September ini.

Persidangan dua tahun sekali itu akan membantu perbincangan global mengenai perkembangan industri sarung tangan getah dan pertukaran idea.

“Bilangan gerai pameran telah meningkat kepada 514 tahun ini berbanding 272 pada 2016. Kami menjangka acara ini akan menarik 800 peserta dan lebih 10,000 pelawat perdagangan asing,” ujarnya. – bernama