Hotel yang terletak di lokasi strategik di Jalan Lumpur di sini telah mula dibuka kepada umum pada bulan Ogos tahun lalu dan berjaya menganjurkan pelbagai majlis rasmi utama bagi peringkat kebangsaan dan negeri.

Menurut Pengurus Besar syarikat, Aswandy Hassan, premis yang memiliki 265 bilik pelbagai saiz itu telah meletakkan Royale Signature Hotel sebagai hotel terbesar di negeri Kedah.

“Kadar penginapannya juga agak menggalakkan iaitu kira-kira 40 hingga 50 peratus pada tahun ini dan yakin angka itu akan bertambah pada masa depan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya sini baru-baru ini.

Jelas beliau, terdapat beberapa jenis bilik hotel yang memberi keselesaan kepada pengunjungnya pada harga serendah RM228 semalam dengan setiap satunya dilengkapi tab mandi serta kemudahan lain bertaraf premium.

Dewan besarnya yang luas juga dimuatkan dengan skrin besar bercirikan lampu diod pemancar cahaya (LED) serta 10 bilik karaoke pelbagai saiz, dihias indah bersesuaian untuk memenuhi gaya hidup pelanggan masa kini serta turut dilengkapi skrin LED.

“Lebih menarik, hotel ini juga memiliki dewan majlis lain yang dimeriahkan dengan skrin LED, lampu warna-warni dan sistem bunyi berteknologi tinggi yang mana ia boleh digunakan untuk penganjuran pelbagai jenis acara seperti hiburan bertaraf antarabangsa.

“Pemilik hotel ini memiliki misi dan visi yang berbeza yang mana dia sanggup berbelanja mewah untuk menampilkan satu kelainan buat hotel ini.

Sebelum ini, ia hanya daripada sebuah kolej persendirian, namun telah melaburkan sejumlah wang yang besar untuk me­ngubah landskap hotel ini menjadi sebuah premis yang tersohor di negeri Kedah.

“Saya yakin, dengan keunikan kemudahan termasuk bilik yang ditawarkan kepada pengunjung di sini, ia bakal menjadi hotel pilihan buat pengunjung berkeluarga dan juga perniagaan,” jelasnya.

Aswandy yang memiliki kira-kira 25 tahun dalam bidang perhotelan itu menjelaskan, Royale Signature Hotel juga mampu memenuhi selera dengan menu menyelerakan daripada dua buah restorannya iaitu Cafe 78 yang menyajikan makanan berasaskan ASEAN dan Barat, manakala Rod Dee Thai pula premis yang menyajikan hida­ngan berkonsepkan autentik dan fusion Thai.

Tambah beliau, syarikat mengunjurkan menerima kedatangan pelancong daripada sektor swasta adalah 40 peratus, manakala bakinya daripada sektor awam.

“Dalam keadaan ekonomi semasa, permintaan terhadap tempahan hotel masih stabil, masyarakat memiliki kuasa beli untuk memilih hotel yang selesa tatkala mereka pergi bercuti,” ujarnya.