Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Tajuddin Atan (gambar) berkata, bagi tahun 2017, sebanyak 13 syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia dengan modal pasaran mencecah RM21 bilion.

“Sehingga 30 Jun 2018, sebanyak 11 syarikat disenaraikan dengan modal pasaran bernilai kira-kira RM2 bilion dan ini telah melepasi angka (dari segi bilangan syarikat) yang dicatatkan pada tahun lepas.

“Bagi tempoh separuh kedua 2018, kami menyasarkan lebih banyak syarikat akan tampil untuk IPO terutamanya di papan ACE termasuk sebuah syarikat besar yang dijangka disenaraikan di papan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung prestasi kewangan Bursa Malaysia bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2018 di sini semalam.

Sementara itu, ditanya mengenai faktor penyebab bagi penurunan nilai modal pasaran untuk IPO tahun ini, Tajuddin menjelaskan, ia disebabkan oleh trend tunggu dan lihat dalam kalangan syarikat-syarikat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Sebelum PRU-14, banyak syarikat mengambil pendekatan untuk melihat dahulu sebarang perubahan yang akan berlaku termasuk dari segi polisi.

“Kini, dengan beberapa perubahan yang berlaku, kebanyakan syarikat ini sedang mengumpul momentum dan strategi untuk terus mengekalkan pertumbuhan perniagaan termasuk perancangan untuk disenaraikan.

“Apa yang penting kini, kami berharap syarikat-syarikat ini akan lebih bersedia termasuk dari segi kebolehupayaan dan kapasiti untuk disenaraikan di pasaran umum,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai prospek pasaran, Tajuddin menjelaskan, sejajar dengan perubahan Malaysia baharu, pihaknya optimis asas-asas ekonomi yang kukuh serta langkah-langkah kerajaan dalam meningkatkan ketelusan tadbir urus mampu memacu pasaran modal untuk kekal berdaya tahan.

“Dengan sedikit lagi masa dan pengumuman polisi yang lebih jelas, kami berharap, ia dapat meningkatkan keyakinan dan menyuntik sentimen positif dalam kalangan para pelabur serta perniagaan sekali gus menyediakan potensi cerah bagi pasaran,” ujarnya.