Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Malaysia Bhd. (Zurich Takaful), Mukesh Dhawan berkata, kadar penembusan takaful di Malaysia masih rendah iaitu pada 15 peratus dan satu ekosistem yang baik diperlukan bagi menggalakkan pengambilan takaful.

Jelasnya, pengambilan takaful tidak akan meningkat hanya dengan bercakap mengenai­nya, sebaliknya suatu pemboleh (enab­ler) perlu dicipta untuk membangunkan pasaran.

“Sesebuah ekosistem yang diuruskan dengan baik akan bermula dengan kerajaan, sebelum sektor korporat seperti kami memainkan peranan.

“Sekiranya wujud insentif untuk membeli atau ada penjimatan yang diperoleh dengan mendapatkan perlindungan takaful maka ia adalah baik untuk rak­yat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi meja bulat berhubung perlindungan, penerimaan, cabaran dan peluang dalam industri takaful antara Zurich Takaful, Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) bersama pihak media di ibu pejabat Zurich Malaysia di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

Pada Mei lalu, Zurich Takaful dan Mydin memulakan kerjasama selama 10 tahun yang membolehkan pelan Zurich Takaful ditawarkan secara berperingkat di pasar raya Mydin terpilih seluruh negara.

Buat masa ini, sebanyak tujuh buah pasar raya Mydin antaranya di Subang Jaya, Senawang, Nilai, Gopeng dan Seremban 2 telah pun memiliki kaunter khas yang menawarkan produk asas Zurich Takaful dan jumlah tersebut dijangka berkembang kepada 30 buah pada tahun hadapan.

Menurut Mukesh, kerjasama berkenaan diharapkan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan takaful terutamanya dalam kalangan pelanggan Mydin yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. - K! ONLINE

“Kolaborasi ini masih baharu, kami akan banyak belajar daripadanya dan berdasarkan maklum balas pelanggan, kami akan bersama-sama membangunkan produk takaful baharu yang memenuhi keperluan serta kehendak mereka,” katanya.