Pengarah Urusan SDM Malaysia, Taiwan dan Thailand, Dennis Ho (gambar) berkata, proses run­dingan bersama lebih dua pemain automotif itu sudah berada pada fasa seterusnya dan menjangkakan ia bakal dimuktamad­kan menjelang akhir tahun ini.

“Rundingan bersama rakan kongsi yang berpotensi itu bukan sahaja dilakukan oleh SDM tetapi termasuklah pesaing dari negara-negara serantau lain.

“Sehubungan itu, sebarang kerjasama yang berjaya diwujudkan bakal menjadikan SDM sebagai salah satu pemain terkemuka dan mempunyai kemampuan untuk menjadi pengubah perjalanan industri tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan media ke kilang Inokom di Padang Meha di sini baru-baru ini.

SDM merupakan anak syarikat milik penuh Sime Darby Bhd. yang kini mewakili 29 jenama di sembilan negara di Asia Pasifik. Inokom pula telah dilesenkan untuk mengumpul dan memasang kereta penumpang, kenderaan pelbagai guna, kenderaan ko­mersial serta trak pertanian.

Pada masa ini, Inokom memasang lapan model BMW (3 Series, 5 Series, 6 Series, 7 Series, X1, X2, X3, X4, X5) termasuklah model MINI Countryman, tiga model Hyundai (Elantra, Tucson, Ioniq), Mazda CX5 serta sebuah kenderaan utilitu sukan, Inokom Santa Fe.

Pasaran kereta yang dipasang Inokom terdiri daripada 35 peratus untuk pasaran eksport dan 65 peratus dijual untuk pasaran tempatan dengan jumlah pengeluaran gabungan sebanyak 37,000 unit pada tahun lalu.

Tambah Dennis, sejak tahun 2004, SDM telah melabur lebih RM400 juta dalam kilang Ino­kom selain pelaburan berjumlah RM132 juta bagi membangunkan kilang pemasangan enjin BMW oleh Sime Darby Auto Enginee­ring (SDAE).

Katanya, SDM bukan sahaja mempunyai kekuatan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi malah kerjasama dengan BMW, Mazda, Hyundai dan Mini dijangka memberi impak positif serta meyakinkan pemain automotif tersebut

“Inokom juga mempunyai ke­lebihan lain dengan pemilikan tanah seluas 80.9 hektar.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 44.5 hektar telah digunakan dan kami bersedia untuk membangunkan kilang pemasangan baharu dengan keluasan 20.2 hektar lagi dalam tempoh tiga tahun akan datang,” ujar­nya.