Menurut agensi penarafan itu, inflasi pengangkutan berkemungkinan besar gagal mengulangi trajektori pertumbuhan dua angka tanpa kesan penyusutan daripada harga runcit mi­nyak.

“Oleh itu, inflasi makanan sebaliknya diunjur meningkat tahun ini berikutan faktor per­belanjaan yang kukuh serta kesan limpahan daripada semakan kenaikan tarif gas,” katanya dalam satu kenya­taan di sini semalam.

RAM Ratings turut menjangkakan inflasi barangan tahan lama yang menyederhana sejak pertengahan 2016 akibat per­belanjaan yang lebih perlahan diunjur mempengaruhi pertumbuhan harga yang ketara berikutan peningkatan kuasa beli.

Agensi penarafan antarabangsa itu berkata, angka inflasi teras bagi Januari dijangka susut kepada 2.9 peratus daripada 3.5 peratus pada bulan sebelumnya, sebahagian besar disebabkan oleh sumbangan pertumbuhan bahan api pengangkutan yang rendah ekoran kesan kenaikan tahun sebelumnya.

Menurutnya, harga purata bahan api RON95 kekal stabil (naik satu sen) pada RM2.28 seliter pada Disember 2017 sehingga Januari 2018.

Selain itu, RAM Ratings juga menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan kekal pada paras 3.25 peratus bagi tempoh selebihnya tahun ini berikutan kenaikan 25 mata asas yang di­umumkan oleh Bank Negara Malaysia bulan lepas.

Agensi itu berkata, unjuran itu berasaskan kepada jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih menyederhana dan inflasi masing-masing pada 5.2 peratus dan 2.5 peratus pada 2018.

Bagaimanapun, ia menambah, tindakan BNM pada masa depan dijangka bergantung kepada data dan sebarang kenaikan baharu (OPR) berkemungkinan dipengaruhi oleh perkemba­ngan pertumbuhan KDNK dan peningkatan risiko inflasi. – Bernama