Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan menetapkan harga bahan api RON 95 pada RM2.20 seliter dan diesel pada RM2.18 seliter selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 manakala harga RON97 tertakluk kepada apungan bebas.

Dalam kenyataan hari ini, Pakar Ekonomi, Vincent Loo Yeong Hong berkata, harga barangan juga mungkin kekal rendah susulan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar peratus mulai 1 Jun lalu.

“Bagaimanapun, ini dijangka berubah selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lima hingga 10 peratus diperkenalkan semula bergantung kepada industri pada 1 September depan. 

“Oleh sebab itu, pengguna masih akan menikmati tempoh tiga bulan tanpa cukai tahun ini yang dijangka mengurangkan inflasi 2018,” katanya.

Walaupun inflasi keseluruhan dijangkakan rendah, Vincent yakin kenaikan kadar dasar semalam Bank Negara Malaysia (sehingga 25 mata asas kepada 3.5 peratus) masih terbuka bagi kemungkinan dilaksanakan, seiring Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar dasarnya sebanyak 50 lagi mata asas ketika ketidaktentuan pasaran berterusan.

“Langkah itu yang dijangkakan turut dilihat baik bagi mengekang potensi kelemahan ringgit susulan peningkatan kebimbangan terhadap fiskal.

“Bagaimanapun, ada risiko ia mungkin dikekalkan atau ditangguhkan, sekiranya pertumbuhan ekonomi negara lebih perlahan berbanding jangkaan tahun ini,” katanya. - Bernama