Menurut laporan Industri Makanan Tambahan Malaysia 2019-2020 yang dikeluarkan persa­tuan tersebut, sektor berkenaan dianggarkan berkembang ke­pada RM2.34 bilion pada tahun ini berbanding RM2.27 bilion pada tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Holista Colltech Ltd., Datuk Rajen Manicka berkata, industri makanan tambahan sentiasa me­nunjukkan peningkatan setiap tahun walaupun dengan kadar perlahan, meskipun kedudukan ekonomi sekarang berada dalam keadaan tidak menentu.

Rajen merupakan salah seorang panel yang terlibat dalam menyiapkan laporan berkaitan Industri Makanan Tambahan Malaysia 2019-2020 oleh persa­tuan tersebut.

“Pelbagai faktor membawa kepada peningkatan penggunaan makanan tambahan dalam kalangan rakyat Malaysia dan sebab utama yang mempe­ngaruhinya ialah keberkesanan produk itu sendiri.

“Selain itu, kesedaran masyarakat masa kini sudah berada pada tahap yang tinggi. Mereka menyedari bahawa makanan yang diambil mereka setiap hari tidak mempunyai khasiat yang secukupnya untuk tubuh badan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum selepas pelancaran laporan tersebut di sini semalam.

Menurut laporan itu, vitamin merupakan penyumbang utama ke arah pertumbuhan industri makanan tambahan pada tahun lalu dengan jumlah RM514 juta bersamaan dengan 22.6 peratus.

Saluran pemasaran yang pa­ling banyak membawa pula­ngan hasil pada 2018 pula adalah me­lalui jualan langsung dengan pe­ratusan 55 peratus ber­samaan RM1.2 bilion, diikuti jualan runcit (RM710 juta) dan dalam talian (RM316 juta).

Sementara itu, Presiden Madsa,­ Muthu Shanmughom berkata, pihaknya sangat op­timis untuk meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan dengan menyediakan produk yang sangat re­levan dan selamat serta ber­kesan.

“Laporan ini akan bertindak sebagai panduan bagi pelabur dalam industri untuk melabur dalam kategori yang betul,” ujarnya.