Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma), Denis Low Jau Foo berkata, ketika ini industri itu mempunyai 40,000 hingga 42,000 pekerja dan memerlukan antara 12,000 ke 15,000 pekerja asing untuk menambah produktivitinya.

“Industri sarung tangan getah tempatan pada hari ini tidak bergerak pada kapasiti mak­simumnya.

“Jika kita mempunyai lebih ramai pekerja, kita dapat meningkatkan pengeluaran kepada kira-kira 10 peratus atau lebih daripada itu.

“Sekiranya pekerja mencukupi, kita mampu mencapai sasaran RM20 bilion,” katanya di sini semalam.

Denis menjelaskan, pihaknya berharap dapat membekalkan pekerja dari Nepal, Bangladesh dan negara lain yang boleh menyediakan pekerja berkualiti kepada industri,” jelasnya.

Denis menegaskan, kebanyakan pekerja asing dalam industri itu telah pulang ke negara masing-masing dan meninggalkan kekosongan jawatan yang perlu diisi.

“Seramai 12,000 hingga 15,000 pekerja asing yang kami (industri) perlukan adalah bagi mengisi kekosongan jawatan di kilang-kilang,” katanya.

Tambah beliau, walaupun industri itu mengguna pakai teknologi automasi, ia masih memerlukan pekerja tambahan bagi memastikan dapat beroperasi sepenuhnya.

Denis berkata, industri ber­kenaan menyasar untuk mengeksport 195 bilion helai sarung tangan getah pada tahun ini, mewakili lebih­ daripada separuh daripada permintaan global sebanyak 300 bilion helai.

Pada 2018, industri tersebut membekalkan 160 bilion helai sarung tangan getah bernilai RM17.5 bilion perolehan kepada lebih 190 negara di dunia. – Bernama