Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Azmi Omar berkata, inisia­tif tersebut akan membantu menangani isu-isu berkaitan dengan zakat, terutamanya berhubung kepercayaan dan ketelusan.

Menurut beliau, mengguna pakai teknologi, yang bukan hanya berkaitan dengan zakat tetapi juga aset Islam lain se­perti waqaf dan sedekah, adalah penting seiring dengan kemajuan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

“Sekarang ini, kita tidak tahu sama ada wang itu disalurkan kepada penerima zakat yang benar-benar layak atau projek yang sesuai.

“Blockchain membantu menyediakan ketelusan dan ia mudah dikesan. Anda boleh tahu di mana wang itu disalurkan, daripada permulaan hingga ke akhir projek, siapa penerima dan dana itu digunakan untuk apa,” kata­nya di sini semalam.

Terdahulu, Azmi menyampaikan ucap tamanya di persidangan meja bulat Bank Dunia-INCEIF-Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam bertajuk Memaksimumkan Kesan Sosial Menerusi Penyelesaian Waqaf di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, INCEIF bekerjasama dengan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah untuk membangunkan aplikasi itu yang ketika ini sedang diuji di Pakistan.

Bagi Malaysia, katanya, ­aplikasi itu akan dibangunkan bersama dengan pejabat serantau International Business Machines Corporation (IBM).

Azmi berharap aplikasi blockchain bagi zakat akan dilaksanakan di Malaysia pada akhir tahun ini, menjadikan negara ini sebagai yang pertama di dunia mengguna pakai teknologi itu bagi tujuan tersebut.

“Kita telahpun ada konsep. Sekarang kita sedang berbincang dengan pihak berkuasa agama negeri dan satu kertas kerja juga akan diserahkan kepada Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam,” katanya.

Menurutnya, mereka juga akan mendapatkan persetujuan daripada Majlis Raja-Raja kerana kaedah kutipan dan pengagihan sekarang perlu ditambah baik.

“Blockchain merupakan satu konsep yang telah terbukti keberkesanannya, jadi saya rasa tidak akan ada sebarang masalah,” katanya. – Bernama