Pengerusi MK Connection, Datuk Tengku Zainuddin Tengku Zahid berkata, pelaburan itu akan dibuat secara berpe­ringkat-peringkat bermula de­ngan RM1 juta pada tahun 2018 dengan melibatkan sebanyak 50 sangkar ikan di sungai ber­kenaan.

Menurut beliau, projek ber­kenaan akan dilaksanakan bersama syarikat berpengalaman yang berkecimpung dalam bidang penternakan ikan di tasik berkenaan iaitu Faratravel (M) Sdn. Bhd. (Faratravel)

“Untuk fasa kedua, kami akan melabur sebanyak RM5 juta untuk perancangan masa depan bagi menambah sangkar ikan tilapia sebanyak 200 unit” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis memeterai perjanjian usaha sama projek penternakan ikan tilapia merah di Tasik Kenyir antara MK Connection, Fara­travel dengan ISS Aquatech Sdn. Bhd. di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MK Connection, Nik Mahmud Nik Wan, Pengarah Urusan Faratravel, Ahmad Helmie Hassan dan Pengarah ISS Aquatech, Tengku Rahim Tengku Ramli.

Selain itu, Ahmad Helmie menjelaskan, ikan tersebut boleh dipasarkan ketika ia matang dengan memiliki berat 500 gram ke atas selepas empat hingga lima bulan mula dima­sukkan ke dalam sangkar.

“Hasil tuaian pada fasa pertama ini ialah kira-kira RM500,000 dan kami menjangkakan projek ini akan membuat tuaian ikan sebanyak tiga kali setahun.

“Harga ikan tilapia merah di pasaran ialah RM15 sekilogram dan setiap sangkar memiliki kira-kira 1,000 ekor ikan,” ujarnya.