Kediaman di bawah program Rumah Selangorku itu merupakan sebahagian daripada pembangunan Fasa 8A Bandar Rimbayu, iaitu Halaman 11.

Pengurus Besar Kanan Bandar Rimbayu Sdn. Bhd., Chai Kian Soon berkata, pihak­nya sebelum ini telah melancarkan sebanyak 180 unit rumah mampu milik dengan blok kediaman setinggi empat tingkat di Halaman 11 pada harga yang sama dan masih terdapat 23 unit yang belum terjual.

“Pada September ini, kami akan melancarkan 180 unit lagi, kali ini ia merupakan projek kediaman setinggi lima tingkat. Mereka yang berminat perlu berdaftar dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

“Terdapat dua jenis kediaman yang menetapkan kriteria berbeza buat pembeli. Kedua-duanya berukuran sekitar 700 kaki persegi (65 meter persegi) dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Kedua-dua pembangunan ini tidak memiliki lif. Pada masa depan kami akan melancarkan unit mampu milik dengan blok lebih tinggi dan memiliki lif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran The [email protected] di sini baru-baru ini.

Fasiliti seluas satu hektar itu yang disediakan untuk penduduk Bandar Rimbayu dengan pelaburan sebanyak RM26 juta memiliki pelbagai kemudahan termasuk kolam renang bersaiz Olimpik, kolam renang kanak-kanak, jakuzi, sauna, gelanggang badminton, gimnasium dan dewan serbaguna.

Premis kedai kopi Starbucks seluas 346 meter persegi kini sedang dibina bersebelahan kelab berkenaan bagi memberikan pengalaman gaya hidup terbaik buat penduduk.

Sementara itu, Kian Soon berkata, pihaknya bakal turut melancarkan kediaman berangkai dua tingkat, iaitu Starling yang memiliki keluasan antara 140 meter persegi hingga 158 meter persegi pada harga bermula RM590,000.

“Ia dijadualkan dilancarkan pada November, namun kami mungkin akan mempercepatkannya kepada bulan Oktober supaya pembeli memiliki lebih masa untuk memanfaatkan Kempen Pemilikan Rumah 2019 yang berakhir hujung tahun ini,” katanya.

Bandar Rimbayu merupakan perbandaran terbaharu IJM Land berkeluasan 760 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM11 bilion.