Pengurus Besar Kanan (Wilayah Tengah) IJM Land, Datuk Hoo Kim See berkata, dengan mengintegrasikan elemen rumah pintar ke dalam projek perumahan baharu itu, ia diharap dapat memper­tingkatkan gaya hidup dan menyediakan kemudahan kepada pembeli,

“Sejak kebelakangan ini, permintaan terhadap rumah pintar adalah tinggi, di mana pemilik kediaman boleh mengawal selia kediaman mereka hanya menerusi teknologi telefon pintar.

“Kami mahu Rimbun Ara menjadi kediaman unik dan canggih yang akan membuatkan pemilik kediaman merasa terhubung dengan arus teknologi semasa,” katanya dalam satu kenya­taan akhbar di sini semalam.

Dalam mereka bentuk kediaman siber mereka yang pertama, IJM Land menggabungkan lima elemen ke dalam pembangunan iaitu tenaga, keselamatan, suasana, kemudahan dan hiburan untuk memenuhi keperluan gaya hidup secara menyeluruh.

Antara kemudahan teknologi yang disediakan termasuk hab Internet Benda (IoT) universal, peranti kawalan suara, kawalan jauh WiFi, suis WiFiSmart, kamera WiFi bahagian dalaman, sensor pintu pintar dan internet jalur lebar berkelajuan tinggi dengan infrastruktur siap sedia.

Dengan adanya peranti kawalan suara, pemilik unit boleh melakukan tugas seperti menghidupkan peralatan rumah, memainkan muzik selain memperoleh maklumat khusus seperti berita dan cuaca.

Sebanyak 105 unit kediaman Rimbun Ara ditawarkan di pasaran dari harga RM557,460 untuk lot te­ngah.