HouzKEY yang bermula pada 15 Januari lalu merupakan skim pemilikan rumah sewa yang pertama di negara ini yang diper­kenalkan sepenuhnya melalui platform di­gital yang mana permohonan dan penyerahan dokumen sokongan dibuat melalui online.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed­ Rafique Merican berkata, produk tersebut telah direka untuk menyediakan penyelesaian alternatif bagi pemilikan hartanah melalui skim inovatif yang hanya memerlukan deposit sewa tiga bulan, seterusnya memboleh­kan pelanggan segera memasuki rumah impian mereka.

“Para pelanggan diberi pilihan untuk membeli hartanah ber­kenaan pada harga yang dipersetujui selepas tempoh sewaan sekurang-kurangnya satu tahun,” katanya dalam satu kenya­taan akhbar di sini semalam.

HouzKEY telah dilancarkan pada 23 November 2017 oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan permohonan pada mulanya hanya­ dibuka untuk pekerja Maybank sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Rafique berkata, sebaik sahaja pemohon memilih hartanah di portal dan bersetuju untuk menyewanya di bawah HouzKEY, bank akan memberikan keputusan dalam masa satu hari bekerja, seterusnya pelanggan harus membuat deposit tiga bulan jumlah sewa bulanan dalam masa tujuh hari.

Selepas perjanjian ditanda­tangani, hartanah tersebut akan dikunci pada harga sewa tetap selama lima tahun dan pelanggan boleh memilih untuk membeli rumah berkenaan dengan menukarkan kepada pinjaman perumahan Maybank selepas tempoh satu tahun menyewa.

Mereka juga diberi pilihan untuk terus menyewa dengan kenaikan kadar sewaan sebanyak dua peratus setahun pada tahun keenam sehingga tempoh kontrak berakhir.