Ketua Prabayar Maxis, Navin Manian berkata, produk pertama seumpamanya dalam pasaran itu diperkenalkan sejajar dengan trend semasa yang menyaksikan lebih ramai pelanggan kini bertukar kepada produk pascabayar.

“Pada masa ini, ramai pengguna bertukar kepada produk pascabayar kerana lebih banyak pelan ditawarkan pada harga berpatutan, lebih memudahkan serta pengalaman internet yang ­dipertingkat.

“Juteru itu, kami melihat penawaran Hotlink Postpaid Flex adalah bertepatan pada masanya, sesuai dengan perubahan trend pasaran, sekali gus dapat me­ngukuhkan jenama Hotlink dan Maxis sebagai antara pemain utama dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Hotlink Postpaid Flex di sini semalam.

Turut hadir Ketua Kerjasama Jenama Maxis, Tai Kam Leong.

Menurut Navin, Hotlink Postpaid Flex memberi pelanggan le­bih banyak pilihan dan fleksibiliti untuk mencipta dan menaiktaraf sendiri pelan internet masing-masing berdasarkan apa yang mereka mahu.

“Ini termasuk pelbagai aplikasi dengan penggunaan tanpa had, selain pilihan untuk pelanggan menikmati kemudahan menguruskan pelan mereka dalam satu bil bulanan,” ujarnya.

Ditawarkan pada harga asas daripada RM30 sebulan, Hotlink Postpaid Flex turut menawarkan panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa had ke semua rangkaian serta data berkelajuan tinggi sebanyak 1 Gigabait.

Selain itu, pengguna boleh menaiktaraf pelan internet tersebut pada bila-bila masa, bergantung kepada penggunaan masing-ma­sing dengan penawaran aplikasi sosial, chat atau muzik tanpa had pada harga serendah RM5.