Pengurus Besarnya, Jai Kishan berkata, dengan permintaan daripada tetamu yang terus meningkat dari pasaran luar seperti China, Singapura, Indonesia, Asia Barat dan Eropah serta pengunjung tempatan, ia dijangka mampu menyumbang pertumbuhan kukuh bagi hotel tersebut.

“Jika dilihat dari segi pertumbuhan industri, kadar penginapan yang dicatatkan adalah sekitar 60 peratus dan kami berhasrat untuk mencapai angka yang lebih baik daripada itu.

“Melihatkan pertumbuhan pesat pelbagai jenis hotel baharu di sekitar Lembah Klang, kami yakin mampu meletakkan Hotel New World PJ sebagai sebuah hotel bertaraf lima bintang yang menawarkan perkhid­matan bernilai tinggi dan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis perasmian Hotel New World P J di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan WCT Holdings Bhd. (WCT), Datuk Lee Tuck Fook.

Sementara itu, ditanya me­ngenai strategi pasaran sasaran bagi hotel tersebut, Jai berkata, pihaknya akan memberi tumpuan terhadap usaha untuk mengimbangi antara segmen perniagaan dan pelancongan.

“Dengan lokasinya yang strategik, bersebelahan pusat beli-belah Paradigm Mall dan terletak dalam plot pemba­ngunan Paradigm yang terdiri daripada pelbagai komponen seperti bangunan pejabat, kawasan perumahan dan pusat komersial, ia membuka pasaran untuk pelanggan perniagaan dan pelancongan,” ujarnya.

Dibangunkan dengan pelaburan bernilai RM300 juta, Hotel New World PJ mempu­nyai sejumlah 300 unit bilik termasuk 20 suites yang didirikan dalam bangunan 14 tingkat.

Ia dimiliki secara bersama oleh WCT dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Hotel tersebut diuruskan oleh New World Hotels & Resorts.