Seperti kebiasaannya, di samping menggandakan amal ibadah menerusi pelbagai bentuk amalan, ada juga umat Islam di negara ini yang mengambil kesempatan dengan berkunjung ke pelbagai restoran dan hotel bagi berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menjamu selera dengan pelbagai juadah yang disediakan.

Bersempena bulan Ramadan pada tahun ini, Hotel Concorde Shah Alam tidak ketinggalan untuk menawarkan set berbuka puasa secara bufet yang disediakan sepanjang bulan berkenaan.

Pengarah Jualan dan Pemasaran hotel berkenaan, Amilia Alias berkata, pada tahun ini, pihaknya memilih tema ‘Yang terbaik di Kota Anggerik’ bagi menggambarkan menu hidangan yang akan disediakan kepada para tetamunya.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kami akan memilih tema berdasarkan keunikan hidangan di negeri-negeri di seluruh negara.

“Pata tahun ini, kami memilih tema ini bagi mengetengahkan hidangan popular dan terbaik yang terdapat di Shah Alam yang sememangnya terkenal dengan jolokan Bandaraya Anggerik,” katanya.

Menurut Amilia lagi, lebih daripada 100 hidangan akan disediakan sebagai pilihan kepada pengunjung sebagai juadah berbuka puasa termasuk 10 daripadanya merupakan hidangan utama hotel berkenaan yang menjadi menu signitur hotel berkenaan setiap kali bulan Ramadan setiap tahun.

Antara menu signitur tersebut termasuklah asam laksa, nasi kandar Seksyen Sembilan, daging rendang tok, sambal petai pedas manis, ayam kari kapitan, kambinb panggang berempah bawang putih, sup gear box dan sup kari mamak.

Dalam pada itu, Ketua Cef, Shaiful Izwan Abdullah pula memberitahu, antara menu popular di Shah Alam yang akan dihidangkan khas kepada pengunjung ialah ikan masak asam boi dan kari kepala ikan.

“Pada tahun ini, kami akan menggunakan kira-kira tiga tan gear box untuk dimasak kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini, sup ger box merupakan antara menu yang paling digemari oleh pengunjung hotel ini.

“Setiap hari, kira-kira 30 orang cef akan bertugas bagi menyediakan hidangan bagi berbuka puasa dan kesemua mereka merupakan cef yang berpengalaman,” katanya.

Hidangan bufet Ramadan di hotel berkenaan ditetapkan pada harga RM128 bagi dewasa dan RM64 bagi kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun.

Pihak hotel berkenaan turut menawarkan harga istimewa bagi mereka yang menempah untuk berbuka puasa pada lima hari pertama dan tiga hari terakhir bulan Ramadan.

Sebarang pertanyaan boleh disalurkan dengan menghubungi talian 03-5520 8000 atau emel ke [email protected] - K! ONLINE