MEAD
MEAD

Pengurus Besar Serantau Hilton Malaysia, Jamie Mead berkata, pihaknya akan membuka Hilton Garden Inn Jalan Tuanku Abdul Rahman South dekat sini dan Hilton Garden Inn Puchong, Selangor menjelang suku ketiga tahun ini, sementara Hilton Garden Inn Johor Bahru dijadualkan dibuka pada 2019.

“Hilton Garden Inn merupakan jenama ketiga di bawah portfolio perniagaan Hilton yang diperkenalkan di Malaysia.

“Kehadiran sulung jenama ini di Malaysia menerusi pembukaan Hotel Hilton Garden Inn Kuala Lumpur Jalan Tuanku Abdul Rahman North membuktikan komitmen kami dalam meneruskan pertumbuhan Hilton di rantau Asia Pasifik.

“Ia terletak hanya lima minit berjalan kaki dari Stesen Monorel Chow Kit yang menyediakan akses mudah kepada tetamu untuk meneroka bandar raya ini serta berhampiran dengan mercu-mercu tanda Kuala Lumpur termasuk Menara Berkembar Petronas serta institusi kewangan dan pejabat-pejabat kerajaan lain.

“Sehubungan itu, kami yakin hotel ini dapat menarik pengunjung, khususnya dalam kalangan pengembara dan ahli perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena perasmian Hilton Garden Inn Kuala Lumpur Jalan Tuanku Abdul Rahman North dekat sini baru-baru ini.

Mead berkata, pihaknya yakin hotel berkenaan akan menyediakan pengalaman terbaik kepada tetamu menerusi penyediaan keselesaan, kebersihan dan fleksibiliti standard tertinggi yang sememangnya menjadi teras kepada jenama Hilton.

Hilton Garden Inn Kuala Lumpur Jalan Tuanku Abdul Rahman North terdiri daripada 265 bilik yang lengkap dengan perkhidmatan WiFi, dobi layan diri dan pusat kecergasan yang dibuka 24 jam serta tempat letak kereta bawah tanah.

Ia juga membolehkan tetamu menikmati hidangan sambil menikmati pemandangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di restoran Garden Grille atau mendapatkan makanan ringan di kedai serbaneka Pavilion Pantry yang beroperasi 24 jam.