Faiz Fahmi yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan berkata, apli­kasi tersebut sedang dalam pe­ringkat pembangunan dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Aplikasi ini menawarkan dua perkhidmatan iaitu Helicopter Tour iaitu tempahan untuk mengelilingi Pulau Langkawi dan Helicopter Taxi yang akan menerbangkan pelanggan terus ke destinasi yang dikehendaki seperti dari Alor Setar ke Ipoh,” katanya.

Usahawan muda itu ditemui selepas pelancaran aplikasi tersebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini bersempena program perniagaan GO 4.0 Langkawi 2018 - I Am Usahawan anjuran Dewan Perniagaan Me­layu Malaysia di sini kelmarin.

Faiz Fahmi berkata, pada masa ini syarikatnya mempunyai sebanyak 11 helikopter iaitu enam model Robinson 44 yang boleh memuatkan empat penumpang termasuk juruterbang, selain lima unit model Robinson 66 berkapasiti lima penumpang.

Daripada itu, tiga ditempatkan di Langkawi manakala baki berpangkalan di Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Port Dickson.

Katanya, sejak beroperasi pada tahun 2009, perkhidmatan yang ditawarkan Heli Outpost mendapat sambutan memberangsangkan dengan kira-kira 5,000 penumpang direkodkan setahun dalam tempoh tiga tahun pertama beroperasi.

“Jumlah itu semakin mening­kat dan tahun lepas syarikat mencatatkan jumlah penum­pang tertinggi setakat ini iaitu 18,000 orang, melibatkan purata 20 pe­nerbangan sehari dengan keba­nyakan pelanggan adalah pelancong dari Asia Barat,” katanya.