Pengarah Urusan Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, pada masa ini AS menyumbang 54 peratus daripada jumlah jualannya setakat tahun kewangan 2019 yang berakhir pada 31 Mac lalu.

“AS adalah pasaran utama kami, dengan 90 peratus daripada jualan disumbangkan oleh sarung tangan perubatan.

“Kami menjangkakan ia kekal kukuh untuk tahun-tahun akan datang, walaupun isu perdagangan berlarutan,” katanya pada mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat itu di sini semalam.

Selain AS, Hartalega turut mengeksport produknya ke Eropah (25 peratus), Asia Pasifik (18 peratus) dan Amerika Selatan (3 peratus).

“Kami sedang mencari pasar­an baharu bagi mengukuhkan perniagaan,” katanya.

Menurut Mun Leong, pihaknya optimis namun berhati-hati terhadap unjurannya memandang­kan pengeluar dari China kini mengalihkan perniagaan mereka ke pasaran lain bagi mengelak dikenakan tarif tambahan oleh kerajaan AS.

“Pasaran AS telah beralih ke Malaysia sebelum pertikaian perdagangan bermula lagi. China sebaliknya beralih ke Eropah.

“Kami hanya boleh menganalisis kesan penuh perang perdagangan dalam tempoh enam bulan lagi,” katanya.

Pada 1 September, China dan AS mengenakan tarif tambahan ke atas barangan masing-ma­sing dalam siri pertikaian tersebut, dengan China mengenakan levi ke atas minyak mentah AS manakala AS mula melaksanakan tarif 15 peratus ke atas import dari China yang bernilai lebih AS$125 bilion (RM521.43 bilion) termasuk pembesar suara pintar, fon kepala bluetooth dan kasut.

Mengenai pelan pengemba­ngannya, Mun Leong berkata, kompleks pembuatan sarung tangan bersepadu generasi akan datangnya di Sepang akan siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang 2021 dan akan me­ningkatkan pengeluaran syarikat daripada 34 bilion keping kepada 44 bilion keping setahun.

“Kadar penggunaan kilang kami kini adalah 95 peratus berbanding 88 peratus sebelum ini. Kami menjangkakan ia beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini disokong oleh permintaan tinggi.

“Selepas selesai, kami akan mula mencari tanah baharu untuk pengembangan masa depan,” katanya. – Bernama