Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail berkata, tiket penerbangan sememangnya dike­cualikan daripada SST sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April 2015.

“Bagaimanapun, setakat ini kita masih lagi me­nunggu panduan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pemeteraian perjanjian selama setahun antara MAS dengan empat pengendali perkhidmatan ibadah umrah di sini semalam.

Perjanjian tersebut membabitkan penyedia­an perkhidmatan penerbangan sewa khas MAS untuk KRS Travel Sdn. Bhd., ATS Global Travel & Charter Sdn. Bhd., Rayhar Travels Sdn. Bhd. dan Eco Riths Leisure Travel & Tours Sdn. Bhd. bagi musim umrah akan datang, mulai Oktober 2018 sehingga Jun 2019.

Di bawah perjanjian itu, syarikat penerbangan nasional berkenaan akan membawa lebih 70,000 jemaah bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga negara jiran seperti Indonesia.

Izham berkata, ia me­rupakan angka paling banyak dari segi jumlah penumpang yang membabitkan khidmat sewa khas umrah.

Katanya, usaha itu me­rangkumi sebanyak 149 penerbangan menggunakan pesawat Airbus A380-800 MAB.

Sementara itu, mengulas pelaksanaan had atau harga siling tiket penerbangan domestik, Izham memaklumkan, pihaknya masih menunggu arahan lanjut Kementerian Pengangkutan serta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berhubung perkara tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan masih meneliti mekanisme sesuai untuk mengawal harga tiket penerbangan domestik, tidak hanya pada musim perayaan tetapi juga sepanjang tahun.