Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid (gambar kecil) berkata, keadaan itu berlaku susulan kebanyakan pelabur, terutamanya pelabur luar masih memantau dasarbaharu yang bakal diumumkan oleh kerajaan dalam tempoh 100 hari.

“Ketika ini, faktor domestik merupakan perkara utama dalam menentukan hala tuju sentimen pasaran berikutan jangkaan terhadap beberapa perubahan dasar ekonomi.

“Agensi penarafan kredit antarbangsa seperti Moody’s dan Fitch Ratings turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang mana ia bakal memberi kesan terhadap hasil kerajaan.

“Selain itu, faktor luaran seperti kadar faedah di Amerika Syarikat (AS), suasana perdaga­ngan dua hala antara China dan Amerika Syarikat (AS) serta kenaikan harga mi­nyak dunia berikutan peningkatan risiko geo politik turut mempengaruhi pasaran saham,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut laporan Bloomberg, Bursa Malaysia pada minggu lepas menyaksikan pelabur luar menjual sejumlah AS$625 juta (RM2.5 bilion) saham, yang merupakan kadar tertinggi bagi aliran keluar sejak Ogos 2013.

Aliran masuk dana asing pula turut menyusut secara signifikan kepada AS$10.3 juta (RM40.9 juta) pada Jumaat lepas, berbanding AS$937.8 juta (RM3.7 bilion) yang direkodkan pada 30 April lepas.

Menurut Mohd. Afzanizam, penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan bagi membantu peralihan kerajaan dari sudut dasar ekonomi dilihat banyak membantu dalam meningkatkan keyakinan pelabur.

“Ini kerana majlis itu dianggotai oleh ahli-ahli yang berpe­ngalaman serta berkaliber dalam bidang masing-masing.

“Justeru, tempoh 100 hari yang direncanakan kerajaan Pakatan Harapan adalah amat kritikal dalam mencorak hala tuju serta membentuk keyakinan, bukan sahaja dalam kala­ngan para pelabur tetapi rak­yat Malaysia secara amnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya me­ngenai unjuran bagi petunjuk utama pasaran, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), Mohd. Afzanizam berkata, ia dijangka berada pada paras 1,900 mata sehingga akhir tahun ini.