Ia dibuka untuk tempahan pada acara pameran tersebut yang berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini, pada harga RM44,890 di atas jalan sebelum insurans.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, Perodua Bezza Limited Edition merupakan model yang menggambarkan personaliti pemiliknya yang unik dan sporty dengan aksesori GearUp yang eksklusif pada model berkenaan.

“Perodua Bezza kekal menjadi pilihan ramai kerana cekap bahan api, kualiti, ruang dalaman yang luas, mudah dipandu dan memiliki kos pemilikan yang rendah.

“Kami akan terus membuat penambahbaikan untuk menawarkan produk serta perkhidmatan lebih baik untuk pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian model terbaharu yang telah di­sempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini semalam.

Berdasarkan Bezza 1.3 Premium X, Perodua Bezza Limited Edition tampil dengan warna luaran Ivory White, kit badan GearUp dengan kemasan hitam matte yang dikelilingi jejalur merah serta spoiler belakang berwarna hitam matte.

Model tersebut juga didatangkan dengan bumbung berwarna hitam, rim aloi berwarna kelabu gelap, cermin sisi berwarna merah dan pelekat bercorak geometrik pada bonet serta pada bahagian sisi.

Perodua Bezza popular di Malaysia sejak dilancarkan pada 2016, dengan lebih daripada 145,000 unit dijual sehingga kini. Ia merupakan sedan pertama Perodua, dengan bahagian badan atas kenderaan direka sepenuh­nya oleh syarikat tersebut.

Malaysia Autoshow 2019 anjuran Institut Automotif, Robotik dan Iot Malaysia (MARii) menyasarkan 350,000 pengunjung dan transaksi jualan RM250 juta.