Menyedari potensi tesebut, pembuat batik terap, Haniza Hisham, 35, menganggap penghijrahannya dari ibu negara ke sebuah kampung di daerah Kuala Terengganu menjadi titik permulaan buat dirinya menelusuri sejarah batik.

Menyorot kembali perjalanannya melangkah ke dalam bidang pembuatan batik, anak kelahiran Ampang, Kuala Lumpur itu berkata, dia pernah menjawat jawatan sebagai arkitek sebelum ini.

Namun, dia mengambil keputusan untuk terus menetap di Kampung Serada, Kuala Terengganu selepas berkahwin dengan suaminya, Abdul Majid Ibrahim kira-kira lapan tahun lalu.

Menurut Haniza, dia bukan sahaja menyukai seni keunikan batik malah turut tertarik untuk mempelajari kaedah pembuatannya yang semakin dilupakan oleh generasi muda.

“Ilmu yang dipelajari dengan mengakses laman pengkongsian video, Youtube dan enjin ca­rian, Google sahaja tidak mencukupi kerana saya memerlukan perkongsian pengetahuan daripada orang lama di dalam industri ini.

“Begitu pun kebanyakan pembuat batik mahir di ne­geri Terengganu yang saya temui enggan berkongsi skil yang mereka miliki,” katanya ketika ditemui Kosmo! di premisnya, Nysa Kapas di Pengadang Baru di sini baru-baru ini.

Haniza menjelaskan, cabaran yang dilalui itu sama sekali ti­dak mematahkan semangatnya un­tuk terus mendalami ilmu pembuatan batik dan dia mula mengeksperimentasi kaedah tersebut di rumah.

Katanya, pada peringkat permulaan dia hanya mengeluarkan sedikit modal untuk membeli kelengkapan membuat batik dalam skala yang kecil.

“Selain mengambil masa yang agak panjang, proses menerap batik juga memerlukan kesabaran dan fokus yang tinggi.

“Saya cuba mengeksperimen kaedah membuat batik di dapur rumah tanpa bantuan sesiapa. Ada kalanya terdetik juga rasa ingin berputus asa apabila melihat hasil batik tidak seperti yang diinginkan atau rosak.

“Kini perniagaan batik terap yang saya usahakan sejak peng­hujung tahun 2016 mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan dalam dan luar negara selain kejayaan membuka sebuah kedai yang menempatkan pelbagai koleksi batik di bawah label Nysa Kapas pada awal Oktober lalu,” ujarnya.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, kesemua hala­ngan dan cabaran yang dila­luinya sepanjang proses untuk menjadi mahir dalam teknik pembuatan batik dijadikan sebagai pengajaran yang berharga.

“Kebanyakan produk batik terap saya bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan bunga yang diins­pirasi daripada alam sekeliling dengan penggunaan warna-warna menarik.

“Saya menghasilkan batik ela sepanjang dua dan empat meter yang boleh dijadikan kemeja lelaki, pakaian wanita atau baju kanak-kanak selain sejadah serta alas meja,” katanya.

Menurut Haniza, dua meter batik ela keluaran Nysa Kapas dijual antara RM50 hingga RM75 manakala empat meter pula pada harga RM100 hingga RM150.

Tambah beliau, batik mempunyai penggemarnya yang tersendiri jadi tidak mustahil jika ada yang sanggup ber­belanja lebih semata-mata ingin tampil menyerlah.

“Nysa Kapas membawa identiti batik terap yang tersendiri dengan suntikan elemen moden dalam setiap rekaan yang dihasilkan supaya ia boleh digayakan dalam apa jua acara.

“Selain menitikberatkan soal pemilihan corak rekaan blok pengecop, Nysa Kapas turut mementingkan jenis kain dan warna yang digunakan bagi menjaga kualiti batik keluarannya,” katanya.

Selain premis Nysa Kapas yang terletak di Pengadang Baru, Haniza juga memiliki sebuah studio menerap batik berhampiran kediamannya yang turut menawarkan kelas bagi menghasilkan kraf tradisional itu.

Bagi penggemar batik yang ingin mendapatkan koleksi Nysa Kapas boleh layari laman web www.nysakapas.com.