Ini bertujuan untuk terus berdaya saing dan memperkukuhkan kehadiran jenama barangan elektrik dan perkakas rumah, Haier, di negara ini.

Pengarah Urusannya, Shi Zhiyuan berkata, langkah itu perlu diambil untuk mengubah kedudukan dan persepsi pelanggan yang sering kali menganggap Haier sebagai satu jenama yang menawarkan barangan peringkat rendah dan pada harga berpatutan.

“Haier merupakan satu jenama yang memenuhi segenap keperluan gaya hidup dengan menerapkan barangan bermutu serta rekaan dan teknologi terkini dalam setiap produk.

“Malah ia merupakan jenama global nombor satu dalam pelbagai kategori kelengkapan elek­trik seperti peti sejuk, mesin basuh dan tempat simpanan wain elektrik.

“Namun, dengan persaingan sengit dalam sektor ini di Malaysia, kami perlu mengambil pendekatan yang berbeza de­ngan menawarkan lebih kepelbagai­an, khususnya dalam segmen bara­ngan elektrik mewah, bagi me­ngangkat jenama Haier,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran Pusat Pengalaman Haier di sini semalam.

Selain itu, Zhiyuan menjelaskan, pada tahun ini pihaknya juga akan memperkenalkan tiga kategori baharu iaitu perkakas dapur, pemanas elektrik dan panel solar yang disasarkan bagi pelanggan runcit dan berasaskan perniagaan-ke-perniagaan (B2B).

“Ekoran pengambilalihan Haier terhadap syarikat pengeluar perkakasan dari New Zealand, Fisher & Paykel pada 2012 dan GE Appliances, yang merupakan divisyen perkakasan dapur General Electric di Amerika Syarikat pada 2016, syarikat ini terus menerapkan kepakaran dan inovasi syarikat-syarikat tersebut terhadap produk Haier,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, empat kategori produk perkakas elektrik Haier yang menjadi tumpuan pelanggan di Malaysia adalah mesin basuh, peti sejuk, televisyen dan pendingin hawa.

Zhiyuan berkata, selain itu, pihaknya juga menyasarkan peningkatan kadar jualan Haier Malaysia sehingga 30 peratus pada tahun ini berbanding RM180 juta yang dicapai pada 2017.

Sejak berada di pasaran Malaysia kira-kira 15 tahun lalu, Haier Malaysia yang merupakan syarikat dagangan jenama dari China itu kini mempunyai 260 rangkaian pengedar aktif de­ngan jangkaan bertambah sebanyak 20 peratus pada 2018.