Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Edmund Kong berkata, projek yang melibatkan komponen kediaman dan komersial itu terletak di Cheras, Kuala Lumpur dan Rawang, Selangor.

“Tiga projek yang akan dilancarkan pada tahun ini ialah Emerald Hills di Alam Damai dan Emerald 9 berhampiran Taman Suntex di Cheras serta di Rawang, masing-masing melibatkan GDV sebanyak RM963 juta, RM1.5 bilion dan RM200 juta sehingga RM300 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis perasmian Galeri Jualan Emerald Hills dekat sini semalam.

Edmund menjelaskan, Emerald Hills merupakan sebuah projek pembangunan pegangan bebas berkeluasan 18.96 hektar yang melibatkan pembangunan 1,378 unit kondominium berhadapan tasik serta 181 unit rumah teres dua dan tiga tingkat.

“Emerald 9 pula merupakan sebuah pembangunan bercampur yang hampir serupa dengan satu lagi projek kami, Damansara City.

“Namun ia lebih menyasarkan kepada pasaran pertengahan dan lebih rendah,” katanya.

Beliau menambah, pembangunan di Rawang masih dalam peringkat perancangan tetapi projek kediaman itu sebahagian besar akan melibatkan pembinaan kediaman atas tanah.

Ia terbahagi kepada dua fasa yang dibangunkan secara berperingkat-peringkat.

“Kami menyasarkan pasaran tempatan yang sebahagian besarnya untuk pelanggan yang mahu meningkatkan taraf kediaman mereka,” kata­nya.

Edmund menjelaskan, sungguhpun melihat pasaran hartanah kekal mencabar pada tahun ini, namun pihaknya optimis bahawa projek pembangunan baharu tersebut mengikut kehendak pembeli.

“GuocoLand Malaysia akan lebih aktif pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelum, malah kami menyasarkan jualan sebanyak RM1 bilion bagi 2018 berbanding RM250 juta yang diraih tahun lalu,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya kini memiliki simpanan tanah kira-kira 2,800 hektar termasuk 160 hektar di Greater Kuala Lumpur, selain di Sepang, Selangor dan Jasin, Melaka dengan melibatkan GDV keseluruhan sebanyak RM5 bilion.