Pengarah operasi perkilangan Goodyear Asia Pacific, Ramon Le berkata, daripada nilai tersebut, lebih 30 peratus digunakan untuk membangunkan teknologi tenaga alternatif yang mampu menjimatkan penggunaan elektrik serta lebih mesra alam.

Menurut beliau, sebanyak RM8.2 juta telah digunakan bagi membangunkan teknologi sistem tenaga solar fotovolta kepada satu-satunya kilang pembuatan tayarnya yang terdapat di negara ini.

“Melalui pemasangan seba­nyak 6,680 panel solar pada bumbung enam stesen rendah voltan yang terletak di dalam kilang ini, sebanyak 2.5 megawat tenaga dapat dihasilkan dengan pengurangan 17 peratus penggunaan elektrik setiap hari dan penjimatan RM1.6 juta setahun.

“Tenaga yang dijana daripada panel-panel tersebut akan digunakan bagi operasi kilang pembuatan, pejabat serta gudang. Kami juga menganggarkan bahawa ia akan dapat mengurangkan 1.98 juta kilogram pelepasan karbon setiap tahun sepanjang 25 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pe­rasmian Sistem Solar Fotovolta di sini semalam.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Melalui pemasangan lebih 6,000 panel tersebut, sistem solar fotovolta di kilang pembuatan tayar Goodyear itu telah diisytiharkan sebagai projek sistem solar terbesar di Malaysia.

Tambah Ramon, bagi Malaysia sahaja, Goodyear telah me­labur kira-kira RM23.47 juta ke dalam kilang tersebut sebagai sebahagian daripada tenaga dan usaha pemuliharaan alam sekitar sejak 2015.

“Sebagai pengeluar tayar terkemuka di seluruh dunia, kami menyedari kesan yang berpontensi daripada perniagaan yang diusahakan terhadap persekitaran dan disebabkan itu pelbagai inisiatif penjimatan elek­trik telah dilaksanakan.

“Dengan adanya teknologi ini, Goodyear bersedia mengurangkan perbelanjaan terhadap elek­trik sekaligus mengurangkan jumlah pelepasan gas rumah hijau,” ujarnya.