Ia adalah untuk projek kediaman dalam segmen pasaran pertengahan dan mampu milik di bandar-bandar berpotensi seperti Selangor dan Johor.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Fateh Iskandar FD Mansor berkata, majoriti projek yang dirancang tersebut dijangka dilancarkan bermula separuh kedua tahun kewangan 2019.

“Daripada jumlah GDV ini, sebanyak RM347 juta (44 peratus) diperuntukkan bagi kediaman atas tanah, RM302 juta (39 peratus) bagi kediaman bertingkat manakala, bakinya merupakan pembangunan komersial (17 peratus).

“Meskipun sektor hartanah diramal terus mencabar, Glomac berharap rangkaian produk perumahan ditawarkan ini mampu menarik pembeli milenial, yang mana mereka merangkumi demografik pembeli rumah pertama terbesar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Glomac ke-34 di Bukit Kiara di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri FD Mansor, Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Richard Fong dan Pengarah Berkecuali Bukan Eksekutif, Datuk Ali Abdul Kadir.

Selain itu, mengulas mengenai projek berhubung pusat beli-belah Glo Damansara Mall (Glo Damansara), Fateh Iskandar berkata, penyewa utamanya terdiri daripada sebuah syarikat dari China yang turut tersenarai di Shanghai dan Hong Kong.

Syarikat berkenaan juga dikatakan berada pada kedudukan kedua selepas syarikat perabot terkenal dari Sweden, IKEA daripada segi rekod jualan perabot.

“Kami menjangkakan penyertaan syarikat gaya hidup terkemuka itu nanti mampu meningkatkan kadar penghuni pusat beli-belah antara 75 peratus hingga 80 peratus berbanding kurang 50 peratus ketika ini.

“Glo Damansara merupakan pelaburan pertama syarikat itu di Malaysia dan di peringkat Asia Tenggara,” ujarnya.

Sementara itu, Glomac berharap kerajaan akan memperkenalkan semula kempen pemilikan rumah yang pernah dilaksanakan pada tahun 1998 dan 1999 dalam usaha mendepani isu hartanah negara ketika ini.

Kempen yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu membantu golongan yang belum memiliki rumah kediaman dengan membeli aset berkenaan serta menikmati pelbagai potongan dan insentif menarik.