Anak syarikat Malaysia Airlines itu memaklumkan, penggantungan itu akan berkuat kuasa sehingga pihak berkaitan menyelesaikan perkara berhubung peranca­ngan untuk memindahkan operasi pesawat turboprop dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar di pulau berkenaan.

“Firefly tidak diberikan sebarang tempoh muktamad oleh pihak berkuasa akan kelewatan itu.

“Namun, selepas mendapat kelulusan akhir dari pihak berkuasa, kami akan menyambung semula penerbangannya ke Singapura,” jelasnya dalam catatan di laman Facebook Firefly semalam.

Firefly berkata, buat sementara ini, pihaknya sedang berusaha menguruskan penumpang yang terjejas.

Pada masa ini Firefly menyediakan 20 penerbangan harian laluan Singapura-Subang, Si­ngapura-Ipoh dan Singapura-Kuantan.

Memetik laporan The Straits Times, pemindahan ke terminal penumpang baharu yang telah dibuka pada 19 November lalu melibatkan penerba­ngan komersial berjadual dan penerbangan sewaan serta jet peribadi.

Changi Airport Group, yang mengumumkan pembukaan Lapangan Terbang Seletar, berkata, kesemua operasi pesawat turboprop di Changi akan dipindah ke terminal baharu itu mulai 1 Disember depan.

Katanya, Lapangan Terbang Seletar juga akan mengendalikan kesemua penerbangan turboprop berjadual di Si­ngapura mulai hari berkenaan.

Terminal Lapangan Terbang Seletar yang seluas 10,000 meter persegi, direka untuk me­ngendalikan sehingga 700,000 penumpang setiap tahun.