Menurut beliau, misi syarikat sejak mula cawangan sulungnya dibuka di Masjid Tanah, Melaka pada bulan Disember 2015 telah mengidamkan untuk membuka 10 lagi outlet baharu sebelum berakhirnya tahun 2017.

Kini ia telah berjaya direali­sasikan.

“Ini merupakan impian saya untuk memiliki kedai buku dan ia satu pencapaian terbaik sejak terlibat dalam industri buku 13 tahun lalu.

“Tanpa sokongan daripada semua pihak termasuk kakitangan syarikat selain keluarga yang memberi semangat dan motivasi, saya tidak akan sampai pada tahap sekarang.

“Banyak faktor yang menjadi kekangan dalam peranca­ngan kami meneruskan projek pengembangan rangkaian kedai buku ini khususnya lokasi untuk mencari tapak strategik untuk membuka sesebuah outlet yang bakal menjadi tumpuan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! selepas majlis pembukaan cawangan Gallery Bookstore di pasar raya besar Tesco Taiping baru-baru ini.

Salleh mengakui pengembangan rangkaian kedai buku merupakan salah satu cara beliau berdakwah menyampaikan ilmu kepada masyarakat meskipun berdepan dengan ledakan fenomena internet dan maklumat di hujung jari melalui telefon pintar.

“Ini bukan soal wang ringgit atau keuntungan tetapi misi saya untuk menyampaikan ilmu berguna, berdakwah kepada masyarakat untuk semua kate­gori umur,” ujarnya.

Lebih menarik, projek pengembangan cawangan Gallery Bookstore sejak mula dilaksanakan dua tahun lalu hanya melibatkan dana dalaman tanpa sebarang bantuan daripada institusi kewangan.

Mengulas lanjut, Gallery Bookstore bercadang untuk mengkaji semula segala aspek termasuk maklum balas daripada pelbagai sumber khususnya pelanggan sebelum merancang untuk membuka cawangan baharu pada tahun 2018.

Salleh menjelaskan, tempoh enam bulan diperlukan bagi menyusun atur semula strategi baharu dan beliau tidak menolak kemungkinan untuk membuka lima lagi cawangan baharu sebelum tahun 2020.

Selain Taiping dan Masjid Tanah, Gallery Bookstore kini memiliki outlet di Bangi, Sela­ngor; Bandar Sri Permaisuri di Cheras, Kuala Kangsar, Perak; Alor Setar, Kedah; Arau, Perlis; Bertam, Pulau Pinang; Parit Raja dan Bandar Dato Onn, Johor.