Pengarah Urusannya, Datuk Guntor Tobeng berkata, projek ladang solar seluas 39.7 hektar itu telah mula dibangunkan pada bulan Disember tahun lalu dan ia dijangka siap menjelang bulan Mei ini.

“Ketika ini, projek tersebut hampir 30 peratus telah disiapkan dan ia akan mula beroperasi secara komersial pada bulan Jun tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perjanjian usaha sama strategik antara Gading Kencana dengan Affin Islamic di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Isla­mic, Nazlee Khalifah.

Menurut Guntor, ladang tersebut bakal menggunakan sebanyak 110,500 keping solar modul buatan Malaysia dan bakal mewujudkan sekitar 304 peluang pekerjaan yang majo­ritinya daripada golongan tempatan.

Tambah beliau, kapasiti ladang solar ini ialah 30 MW setahun dan ia menjimatkan 800,000 tan pelepasan karbon.

“Standard dunia bagi pengeluaran tenaga solar ialah satu MW bagi dua hektar dan berdasarkan kecekapan syarikat yang tinggi, ia dapat menghasilkan satu MW dengan ha­nya 0.6 hektar.

Pembinaan tersebut juga adalah sejajar dengan hasrat negara untuk mencapai sasaran 2,080 MW pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2020 di bawah Dasar Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pelan Tindakan.

Sementara itu, Nazlee berkata, Affin Islamic terus berminat untuk meneroka pelbagai peluang pembiayaan baharu khususnya dalam bidang teknologi hijau dan RE selari dengan inisiatif kerajaan untuk memacu keupayaan negara dalam bidang berkenaan.

“Keyakinan Affin Islamic terhadap Gading Kencana adalah kerana kecekapan syarikat itu dalam projek ladang solarnya seluas tujuh hektar di Ayer Keroh, Melaka yang telah mula beroperasi sejak 2014 dengan kapasiti lapan mW.

“Kami akan terus menyokong Gading Kencana berdasarkan ladang solarnya di Ayer Keroh sebagai antara ladang paling cekap di dunia,” katanya.