Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, syarikat bakal melabur kira-kira RM200 juta untuk projek percubaan tersebut.

Menurutnya, projek itu sedang dalam kajian dan ia bakal dimulakan pada tahun ini dengan mengintai peluang di kawasan seluas kira-kira 20 hektar di Ulu Bernam, Perak.

Syarikat juga berkemungkinan membangunkan projek ber­kenaan melalui kerjasamanya dengan syarikat pemaju hartanah di negeri tersebut.

“Projek ini bakal melibatkan pembangunan kira-kira 300 unit rumah dan akan dibangunkan melalui kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang bakal siap dalam tempoh 15 bulan.

“Rumah berkonsepkan tradi­sional itu akan memiliki bumbung yang dipasang dengan 88 keping panel solar yang dapat menjana tenaga elektrik sehingga­ 30 MW.

“Tenaga elektrik yang dijana daripada kepingan solar daripada panel bumbung itu akan disambung ke pencawang dan seterus­nya ke grid kebangsaan dan konsep tersebut menjadi satu sumber kewangan kepada pemilik rumah berkenaan.

“Sebagai contoh, bagi sebuah rumah yang berukuran 20X70 kaki persegi dan berharga kira-kira RM300,000 maka nilai komitmen bulanannya ialah antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan tetapi melalui pembe­lian rumah yang memiliki bumbung solar, maka nilai komitmen bulanannya adalah di bawah RM300 sebulan sahaja.

“Sehubungan itu, pemilik rumah tersebut akan menikmati penjimatan yang besar dalam perbelanjaan bulanan sepanjang perjanjian, malah bumbung pa­nel solar itu memiliki jangka ha­yat sehingga 35 tahun,” ­katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan media ke Loji Jana Kuasa Solar di Bidor, Perak baru-baru ini.

Selain itu, mengulas mengenai Loji Jana kuasa Solar Bidor yang telah mula beroperasi pada awal November tahun lalu, ia telah mencatat sejarah buat Gading Kencana kerana dibina dengan menggunakan 90 peratus kan­dungan tempatan.

Loji itu juga melakar sejarah kejuruteraan di negara ini kerana pertama kalinya di Malaysia menyambung tenaga elektrik ke 132 KV grid kebangsaan.

“Lokasi Bidor dipilih kerana ia mempunyai kadar pancaran matahari yang baik dengan jumlah kumulatif purata data penyinaran setahun adalah 1,695.2 kwh/m2.

“Projek tersebut telah memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi di daerah berkenaan kerana memberi peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan yang mana 30 peratus daripadanya terdiri daripada tenaga mahir dalam kalangan wanita muda Melayu,” jelasnya.