Penyerahan cadangan bidaan terbuka bagi projek yang bakal menawar jumlah kapasiti pengeluaran tenaga sebanyak 500 megawatt (MW) itu akan ditutup pada pertengahan bulan Ogos ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntor Tobeng Mansur berkata, berdasarkan pengalaman syarikat dalam industri tersebut, pihaknya optimis untuk menjadi salah sebuah syarikat terpilih dalam projek berkenaan.

“Melalui rekod projek ladang solar yang diuruskan pada masa sekarang, kami memberi banyak kelebihan kepada penduduk tempatan dengan menawarkan peluang pekerjaan dan juga menjadi penyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri melalui pembayaran cukai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkembangan terbaharu syarikat di sini baru-baru ini.

Gading Kencana yang memiliki dua buah ladang solar yang terletak di Melaka dan juga di Bidor, Perak merupakan satu-satunya syarikat milik individu bumiputera yang akan bersaing dalam bidaan projel LSS3 bersama syarikat utama terkenal di Malaysia dan pelabur dari China.

Tambah Guntor, bagi projek LSS3 yang menawarkan kapasiti 500 MW, ia bakal melibatkan pemilihan sebanyak lima buah syarikat dengan tawaran 100 MW setiap satu.

“Bagi projek LSS3 berkapasiti 100 MW untuk satu lesen, ia bakal melibatkan kos sehingga RM500 juta,” jelasnya.

Menurut Guntor, bagi projek terbaharu ini, syarikat mencadangkan untuk membeli tanah seluas 200 hektar di Perak yang menempatkan bekas lombong bijih timah sebagai usaha untuk memasang panel solar terapung di situ.

“Pada permukaan lombong terbiar itu, kami akan memasang panel solar dan di dalam lombong tersebut pula akan dipelihara ikan air tawar,” jelasnya.

Selain itu, Gading Kencana telah bekerjasama dengan Kelantan Utilities Mubaaraka Holdings Sdn. Bhd. (KUM) untuk memasang solar PV sistem di loji rawatan air (LRA), medan telaga milik syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) serta di atas bumbung melibatkan 40 buah bangunan kerajaan dan bangunan komersial di negeri Kelantan.

Guntor menjelaskan, tujuan utama pemasangan panel solar itu adalah untuk mengurangkan bil elektrik yang tinggi di LRA dan medan telaga AKSB.

“Dianggarkan sebanyak 7.8 MW kapasiti akan dipasang di loji rawatan air serta medan telaga milik AKSB di mana ia akan memberikan penjimatan bil elektrik kepada AKSB dalam anggaran RM4 juta setahun bagi kesemua 19 loji rawatan air serta medan telaga milik AKSB mengikut tarif kategori yang ditetapkan.

“Kami menjangkakan jumlah perolehan daripada projek ini ialah RM134 juta,” jelasnya.