Fuel Shack yang menawarkan sajian utama burger gourmet merupakan anak syarikat milik penuh Bharat Group.

Pengarah Francais dan Pembangunan Perniagaannya, Mazril Zaini berkata, pihaknya melihat potensi yang besar dalam memperluas jenama tersebut di negara-negara berkenaan dan bakal bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi memudahkan lagi urusan perniagaan di sana.

Beliau berkata, Fuel Shack akan membuka lima buah cawangan di India dengan tumpuan di wilayah Delhi dan Chennai selain masing-masing empat cawangan di Indonesia (Jakarta, Bali, Bandung dan Surabaya) serta Filipina (Manila dan Min­danao).

“Dalam tempoh terdekat ini kami berusaha untuk membuka cawangan di Filipina dan ia dijang­ka mula beroperasi selewat-lewatnya suku ketiga tahun ini iaitu sebelum bermulanya acara sukan SEA di sana. Malah, syarikat mendapati pasaran halal di Filipina sangat besar dan wajar dimanfaatkan.

“Trend bagi makanan segera seperti piza dan burger amat popular di sana, namun penawaran dalam segmen burger gourmet seperti yang ditawarkan oleh Fuel Shack agak kurang. Justeru itu kami yakin ada potensi baik untuk memperkenal jenama ini bagi penggemar di Filipina,” kata­nya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! ketika ditemui di cawangan Fuel Shack di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.

Menurut Mazril, untuk pasaran tempatan, syarikat me­nyasarkan membuka sebanyak 20 buah cawangan baharu di pelbagai lokasi strategik tahun ini, khususnya selepas melaksanakan penstrukturan semula Fuel Shack.

“Daripada 20 cawangan baharu berkenaan, sebahagiannya akan dibuka menerusi model perniagaan francais dan separuh lagi adalah korporat. Kami menyasarkan untuk membuka Fuel Shack di kawasan premium seperti pusat beli-belah gred A selain di lapangan terbang.

“Kami sebelum ini pernah membuka perniagaan di lot kedai dan kawasan perindustrian namun ia kurang memberangsangkan, justeru itu syarikat mengambil keputusan menempatkan semula Fuel Shack di pusat beli-belah. Kami akan membuka satu cawangan di Pavilion Kuala Lumpur pada Ogos ini,” jelasnya.

Fuel Shack kini turut memperluas perniagaannya bagi segmen sejuk beku dengan memperkenal patti daging dan ayam ke dalam pasaran tempatan.

Ketika, ini Fuel Shack mempunyai sebanyak 20 buah cawang­an termasuk di stesen minyak Shell yang tertumpu di sekitar Kuala Lumpur dan Se­langor.