Keputusan itu diperoleh daripada hasil kaji selidik dijalankan oleh JobStreet.com untuk mengenal pasti 10 syarikat teratas yang menjadi pilihan utama di Sarawak.

Ia menunjukkan Petronas, syarikat minyak negara Malaysia, menduduki tempat teratas diikuti Shell, syarikat multinasional British-Belanda.

“Kaji selidik 10 syarikat teratas 2019 itu membabitkan lebih 1,125 pencari kerja di Sarawak yang mengambil bahagian dalam kaji selidik secara online,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Menurut JobStreet.com, syarikat berpangkalan di Sarawak, Sarawak Ene­rgy menjadi pilihan ketiga manakala Cahaya Mata Sarawak dan AirAsia masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Maybank, Naim Holdings Bhd., Shin Yang Group of Companies, Petros dan Sime Darby antara syarikat dalam senarai 10 firma teratas itu.

Kaji selidik itu menunjukkan bahawa pekerja di Sarawak mengutamakan pembangunan kerjaya berdasarkan reputasi syarikat, dengan gaji kekal menjadi satu daripada tiga aspirasi utama dan pertimbangan mereka bagi semua peringkat jawatan.– Bernama