Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, sebagai syarikat tersenarai, FGV mempunyai tanggungjawab bagi mewujud dan merealisasikan nilai kepada para pemegang saham.

“Pelan transformasi yang ada hari ini menetapkan arah untuk syarikat dan pasukan pengurusan kami yang diketuai oleh Haris untuk memacu FGV ke hadapan. “Saya berkeyakinan terhadap kemampuan mereka untuk merealisasikan keputusan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau menerangkan, Haris mempunyai pengalaman selama 28 tahun dalam sektor korporat terutama dalam aspek pengurusan strategi dan perubahan.

Sebelum ini beliau menjawat jawatan pengarah, pengurusan komersial dan tanah di Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) serta anggota utama pasukan yang berjaya menyiapkan Fasa 1 MRT Corp kurang daripada bajet sebenar dan siap lebih awal daripada jadual asal.

Sementara itu, FGV juga mengumumkan pelantikan Datuk Mohd. Hairul Abdul Hamid sebagai Ketua Pegawai Kewangan kumpulan (CFO), Mazri Abdul Rahim sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Dr. Christina Ooi Su Siang sebagai Ke­tua Pegawai Pemerolehan.

Kumpulan perladangan itu menjelaskan, Mohd. Hairul yang merupakan seorang akauntan, mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan kewa­ngan dan percukaian selain pernah berkhidmat sebagai CFO di MRT Corp.

Mazri telah berkhidmat dalam pelbagai sektor di syarikat pengeluar bara­ngan pengguna termasuk operasi sumber manusia, pampasan dan faedah serta pembangunan organisasi.

Selain itu, Su Siang membawa bersamanya pengalaman lebih dua dekad dalam pengurusan perolehan, terutama dalam pengurusan transformasi perolehan yang merupakan bahagian pen­ting dalam pemulihan dan pelan transformasi FGV.