Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia, Siang-Chung Chon berkata, dengan adanya pejabat penghantaran terbaharu itu, pelanggan di sekitar Kuantan boleh menikmati kemudahan pengiriman yang lebih baik dengan meninggalkan dan mengambil bungkusan mereka mengikut kesesuaian masa.

“Penghantaran yang pantas dan dipercayai menjadi penentu kepada kejayaan perniagaan, terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kuantan sebagai pintu masuk ke Pantai Timur merupakan lokasi yang ideal untuk FedEx memenuhi keperluan PKS di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Ia juga dapat membantu menghubungkan mereka dengan peluang di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini baru-baru ini.

Menurut Chung Chon, pembukaan FSC dalam masa yang sama dilihat dapat menyokong perlaksanaan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan negeri-negeri pantai timur.

“Projek ini dijangka mengubah landskap ekonomi Pantai Timur dengan memacu pembangunan, menggalakkan pelaburan dan me­lonjakkan pertumbuhan ekonomi di wilayah tersebut,” ujarnya.

Terletak di Jalan Darat Makbar, pejabat FSC tersebut akan dibuka pada hari Isnin hingga Sabtu.

FedEx Express ialah syarikat pe­ngangkutan ekspres terbesar di dunia, menyediakan khidmat penghantaran yang pantas dan dipercayai ke lebih 220 negara serta wilayah.