Ketua Pegawai Eksekutif BBCC Development Sdn. Bhd., Low Thiam Chin berkata, ia kini berada pada landasan tepat untuk penyerahan pertamanya yang dijadualkan pada suku pertama tahun 2021.

Ujarnya, pembinaan fasa pertama projek ikonik di ibu negara itu termasuk pusat beli-belah, podium runcit, pejabat dan hab hiburan dan dua blok apartmen.

“Keseluruhan kerja-kerja infrastruktur pembangunan berkeluasan 7.85 hektar itu turut melibatkan tiga laluan bawah tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini sempena lawatan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad di tapak projek ber­kenaan semalam.

Turut hadir dalam sesi lawatan berkenaan ialah Pengerusi Eco World Development Group Bhd. (Eco World), Tan Sri Liew Kee Sin dan UDA Holdings Bhd. (UDA), Datuk Ahmad Abu Bakar.

Projek BBCC merupakan hasil kerjasama antara Eco World, UDA dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia melibatkan kawasan binaan kasar seluas 622,450 meter persegi dengan nilai pembangun­an kasar RM8.7 bilion.

Thiam Chin berkata, pasukannya bekerja keras bagi memastikan projek berkenaan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kami berpuas hati dengan perjalanan pembangunan dan tidak sabar untuk mencapai perkembangan seterusnya,” katanya.

Menurut Thiam Chin, keterujaan seterusnya di BBCC adalah Malaysia Grand Bazaar (MGB) yang kini berjaya menarik kira-kira 40 penyewa sebelum pembukaannya pada tahun 2021.

“Sebagai komponen penting Hab Hiburan BBCC, MGB menawarkan ruang peruncitan khusus seluas 9,290 meter persegi yang direka untuk memaparkan hasil kerja tangan artis serta karya tradisi dan pelbagai sajian asli tempatan.

“Kami melihat bazar ini me­nerima maklum balas positif daripada peruncit,” katanya.

Beliau menambah, dengan seni bina berilhamkan warisan yang dilengkapi persembahan kebudayaan, demonstrasi kraf dan aktiviti-aktiviti seni interaktif, pihaknya yakin MGB akan menjadi antara tarikan pelancongan di ibu negara.

Tarikan-tarikan lain BBCC termasuk dewan konsert Zepp Kuala Lumpur berteknologi terkini dari Sony Music Entertainment Japan, pusat beli-belah Mitsui Shopping Park Lalaport KL yang menawarkan pelbagai jenama Jepun, Asia dan peruncit antarabangsa, pusat perangin­an pertama Canopy by Hilton di Asia Tenggara.

Selain itu, menerusi kerjasama dengan penyedia ruang kerja terbuka terkemuka dunia, Regus, BBCC akan menyediakan sebuah ruang kerja terbuka berkeluasan 1,858 meter persegi.

KUALA LUMPUR – Malindo Airways Sdn. Bhd. (Malindo Air) dan rakan perdagangan elektroniknya, Monex Financial Services Ltd. (Money Financial Service) memperkenalkan perkhid­matan Penukaran Mata Wang Dinamik (DCC) di enjin tempahan internet (IBE) Malindo Air.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata, perkhidmatan DCC akan memboleh­kan pelanggan memanfaatkan kadar pertukaran kompetitif yang ditawarkan oleh Malindo Air pada masa transaksi berdasarkan mata wang kad pe­langgan.

“Secara purata, lebih 60 peratus tempahan berasal daripada IBE dan ciri-ciri tersebut akan berguna kepada pelanggan yang menempah tiket menggunakan kad atau mata wang asing dari bandar berlepas.

“DCC kini menyokong enam mata wang yang terdiri daripada ringgit, dolar Singapura, dolar Amerika Syarikat, dolar Australia, baht Thai dan dolar Hong Kong,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.