Taman tema yang telah mula dibuka pada awal bulan November tahun lalu telah menerima lebih daripada 100,000 pengunjung termasuk daripada pelancong luar negara.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Izham Yusoff berkata, projek seluas 1.2 hektar itu memberi kelainan kepada pengunjung kerana ia menerapkan konsep pembelajaran dan kesedaran mengenai alam sekitar.

“Tema penceritaannya ialah mengenai alam magika yang mana pengunjung dibawa memasuki ke dunia magika serangga yang berwarna-warni.

“Kanak-kanak akan teruja apabila bertemu empat maskot utama taman tema air tersebut iaitu Bee-Bee (seekor labah), Rara (kumbang kura-kura), Rem (seekor rama-rama) serta Eemut (seekor semut),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan taman tema air Fantasia Aquapark, Bandar Darulaman di sini baru-baru ini.

Selain itu, Izham menjelaskan, persekitarannya selamat kerana rata-rata permainan dan tempat mandi di taman tema air itu direka khas untuk memenuhi imaginasi kanak-kanak serta mendatangkan keseronokan kepada golongan tersebut.

“Taman tema air itu dapat memuatkan seramai 1,500 pengunjung dalam satu masa.

“Kami juga sentiasa lakukan pengawasan kualiti air dengan kerjasama Jabatan Kesihatan,” ujarnya.