Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Eric Kuan Khian Leng berkata, ketika ini, syarikat terus meninjau secara aktif peluang-peluang yang ditawarkan serta mengadakan perbinca­ngan dengan syarikat-syarikat berpotensi bagi menjalankan kerjasama.

“Kami percaya pasaran pembangunan hartanah Australia akan terus menyediakan pendapatan memberangsangkan kepada Fajarbaru pada masa akan datang.

“Ia dipacu oleh permintaan meningkat bagi hartanah di negara tersebut termasuk daripada pelabur luar serta tempatan terhadap projek-projek berkualiti.

“Pada masa depan, kami akan memperluaskan kehadiran ke kawasan lain selain Melbourne, seperti di bahagian selatan Australia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis menandatangani perjanjian kemudahan pembiayaan antara Fajarbaru, Beulah International (Beulah), KHK Group dan Maybank di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Beulah, Chan Jiaheng dan Pengarah Urusan Perbankan Korporat Maybank, Michael Oh Lau Chong Jin.

Pembiayaan yang bernilai hampir AUD100 juta (kira-kira RM300 juta) itu adalah bagi membiayai projek pembangunan hartanah Paragon di Melbourne yang diba­ngunkan secara usaha sama antara Fajarbaru, Beulah dan KHK Group.

Sementara itu, Jiaheng berkata, Paragon yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar AUD200 juta (RM598 juta) kini telah 90 peratus terjual.

“Kami optimis ia mampu dijual sepenuhnya apabila siap dibina separuh kedua 2020,” ujarnya.

Paragon merupakan projek pangsapuri mewah 48 tingkat dengan 227 unit kediaman.

Ia merupakan projek pembangunan hartanah kedua Fajarbaru di Australia.

Pada tahun lalu, ia telah menyiapkan pembinaan apartmen mewah Gardenhill di Melbourne.