Beliau yang merupakan pe­ngasas Saudagar Kitchen Sdn. Bhd. (Saudagar Kitchen) berkata, ketika melancong ke Eropah pada 2016 lalu, beliau terpaksa membayar €10 (RM46.54) bagi menu tengah hari.

“Terlalu mahal,” bisiknya, lantas fikiran ligat mencari idea solusi bagi menyediakan menu berpatutan dan halal khususnya kepada pelancong Muslim.

“Daripada situ saya berhasrat untuk memperkenalkan produk bersesuaian dan mula menjalankan proses penye­lidikan dan pembangunan (R&D) pada awal 2017 selepas pulang daripada bercuti di Amerika Syarikat (AS).

“Ketika di AS, saya melihat sekumpulan penggiat aktiviti luar menikmati sajian daripada pek makanan yang menggunakan konsep militari MRE. Mereka menyediakan hidangan dengan hanya memanaskan pek makanan itu tanpa menggunakan dapur atau api untuk memasak.

“Konsep ini dilihat mampu menyelesaikan masalah khususnya kepada mereka yang gemar mengembara dan aktiviti lasak, justeru saya mengambil idea tersebut dan komersialkannya dalam produk Kembara Adventure Meal,” katanya ketika di temui di Bandar Puteri Bangi di sini baru-baru ini.

Pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang kewangan dari Imperial College London itu berkata, selepas membangunkan prototaip dalam tempoh lima hingga enam bulan, beliau berjaya melancarkan pek Kembara Adventure Meal pertama, menu nasi rendang daging pada Disember 2017.

Set makanan yang dihasilkan itu menggunakan teknologi ste­ril bagi memastikan ia mampu bertahan sehingga tempoh dua tahun.

Ditanya mengenai bahan yang digunakan sebagai pemanas pek sajian tersebut, beliau berkata, syarikat menggunakan bahan pemanas yang dikenali sebagai teknologi Pemanasan Tanpa Api (FRH) yang mana terdiri daripada campuran magnesium, iron dan sodium.

Teknologi FRH itu digunakan oleh pihak militari di Eropah dalam penyediaan makanan terutama bagi anggota keselamatan yang bertugas di sempadan.

“Menerusi teknologi ini, pengguna hanya perlu memasukkan air kira-kira 200 mililiter ke dalam bekas plastik yang akan mengaktifkan bahan FRH tersebut sebelum ia bertindak memanaskan pek hidangan berkenaan secara automatik.

“FRH akan mencapai suhu sehingga 100 darjah Celsius dalam hanya 30 saat dan kepanasan berkenaan akan kekal sehingga tempoh enam hingga tujuh minit bagi memanaskan pek makanan sebelum dihidangkan,” ujarnya.

Sementara itu, berkongsi pandangan dalam dunia perniagaan, Muhammad Faiz berkata, para usahawan yang menceburi bidang ini seharusnya memanfaatkan penggunaan teknologi dalam setiap apa diusahakan meskipun menjual nasi lemak ataupun pisang goreng.

“Syarikat permulaan yang tidak berkait dengan mana-mana urusan teknologi sekali pun wajar mengadaptasi penggunaan ini sebagai satu nilai tambah ke dalam perniagaan mereka. Ia bagi memastikan mereka kekal relevan pada masa akan datang.

“Jika masih kekal dengan kaedah pengoperasian lama atau konvensional, anda pasti akan ketinggalan kerana apa yang saya boleh lihat, teknologi dapat membantu meningkatkan kecekapan sekali gus merangsang jualan syarikat,” jelasnya.

Beliau juga mengingatkan usahawan mahupun syarikat besar supaya keluar daripada zon selesa dan mengambil inisiatif untuk menambah pengetahuan agar terus kompetitif di pasaran semasa.

Dalam pada itu, Saudagar Kitchen merancang untuk me­nembusi pasaran eksport de­ngan menyasarkan Indonesia dan Jepun dalam memperkenalkan produk sajian kembaranya menerusi jenama Kembara Adventure Meals pada tahun hadapan.

Syarikat ketika ini mendapat banyak pertanyaan daripada tujuh buah negara antaranya Si­ngapura, Brunei dan Arab Saudi selain Indonesia serta Jepun bagi memasarkan produk ber­kenaan di sana.

Selain itu, sebagai usaha menambah pilihan rangkaian produk, syarikat tersebut baru-baru ini memperkenalkan nasi tomato dengan ayam masak merah selain bakal melancarkan sajian nasi lemak sebagai makanan pagi menjelang April ini.