Kumpulan Pendidikan APIIT terdiri daripada Asia Pacific Schools (APS), Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU) dan Asia Pacific Institute of Information Techno­logy (APIIT).

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir (gambar) berkata, pelupusan tersebut membolehkan syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian berkaitan kerajaan itu memperoleh semula kos pelaburannya dan menjana kadar pulangan dalaman positif sebanyak 22.3 peratus dan 1.6 kali modal dilaburkan termasuk dividen yang telah diterima.

“Kami percaya telah menemui pemilik baharu yang sesuai dan tepat bagi Kumpulan Pendidikan APIIT untuk memandu institusi di bawahnya ke arah kejayaan yang berterusan.

“KV Asia Capital telah mengurus, mengetuai dan mempunyai reputasi yang baik di seluruh Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sempena penjualan perniagaan tersebut di sini semalam.

Penglibatan Ekuinas dalam Kumpulan Pendidikan APIIT bermula dengan pemerolehan pegangan sebanyak 51 peratus daripada Sapura Resources Bhd. (Sapura Resources) pada tahun 2010 pada harga RM102 juta.

Pada Mac 2016, ia mengambil alih baki pegangan dalam kumpulan pendidikan itu daripada Sapura Resources de­ngan melibatkan RM247 juta, sekali gus menjadikan Ekuinas sebagai pemilik tunggal.

Sepanjang tempoh pelaburan, Ekuinas telah menambah jumlah pelajar daripada 7,700 orang pada tahun 2010 kepada lebih 10,000 orang pada 2016.