Pengarah Bahagian Hab Halal, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, ini disokong oleh peningkatan permintaan produk itu secara konsisten, bukan hanya daripada kalangan negara Islam tetapi juga bukan Islam yang mengutamakan aspek pemprosesan makanan lebih bersih, terjamin, halal selain perkhidmatan yang berasaskan patuh Syariah.

Antara negara yang mengemukakan permintaan tinggi bagi mendapatkan sijil halal Jakim adalah China, Jepun, Taiwan dan Hong Kong dan kelulusan membabitkan syarikat asing lazimnya memakan masa sehingga tiga bulan manakala syarikat tempatan kira-kira 30 hari.

Sirajuddin berkata, setakat ini sebanyak 42 negara telah mengiktiraf sijil halal JAKIM termasuk terbaharu dari Lithuania dan Kazakhstan.

"Permintaan terhadap sijil halal kami itu turut diterima dari negara-negara Eropah Utara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama antara Taiwan Halal Integrity Development Association (THIDA) dan Serunai Commerce.

Perjanjian itu antara lainnya bertujuan menyediakan sistem latihan, pembangunan, pensijilan dan perusahaan halal bagi memenuhi permintaan serta kemajuan berkaitan di Taiwan.

Setakat ini, kira-kira 700 perniagaan di Taiwan telah memperoleh sijil halal oleh pihak THIDA.

Pada majlis sama, Serunai Commerce turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Northport (Malaysia) Bhd. bagi menghasilkan sistem logistik bersepadu dengan matlamat untuk menjadikannya hab perdagangan halal global.

Serunai Commerce merupakan pemaju Global Halal Data Pool iaitu pangkalan data halal pertama dunia dan membantu perdagangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan syarikat di luar negara.

Syarikat itu turut mendapat bantuan Jakim, juga memberi kemudakan kepada pengguna untuk menyemak status halal produk menerusi aplikasi Verify Halal. - Bernama