Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, dari segi bekalan, sektor utama terus berkembang, kecuali sektor perlombongan.

Ini disebabkan oleh penurunan dalam pengeluaran minyak dan gas asli susulan penutupan kemudahan pengeluaran yang tidak dirancang.

“Sektor pertanian pulih dengan mencatatkan pe­ningkatan 5.6 peratus pada 1Q 2019 ekoran pemulihan kukuh hasil minyak sawit yang membantu meningkatkan pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Bank pusat menjelaskan, ekonomi Malaysia dijangka­ terus berada pada kedudukan pertumbuhan yang mantap dengan permintaan sektor swasta diunjur terus menjadi teras pertumbuhan disebabkan perbelanjaan sektor awam yang rendah.

“Sektor luar dijangka berkembang sedikit, seiring permintaan global yang sederhana.

“Berdasarkan unjuran asas, ekonomi Malaysia akan berkembang antara 4.3 dan 4.8 peratus tahun ini,” katanya.

Selain itu, BNM menjelaskan, berkuat kuasa suku pertama ini, Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) diasaskan semula kepada harga malar tahun 2015 daripada harga tahun 2010.

“Pengasasan semula yang dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia ini mencerminkan struktur ekonomi semasa seperti peningkatan sumber dan liputan data, serta penambahbaikan metodologi, selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya. – Bernama