Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ekonomi Malaysia perlu kekal kondusif bagi menyokong prestasi ekonomi makro yang lebih teguh walaupun defisit fiskal dijangka berkura­ngan kepada 2.8 peratus tahun ini berbanding 3 peratus pada 2017.

“Pertumbuhan KDNK pada 2018 akan terus didorong oleh penggunaan dan pelaburan swasta, pertumbuhan eksport dan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi dalam projek infrastruktur seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur,  Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi, Jajaran 2 Transit Aliran Massa (MRT2) dan Jajaran 3 Transit Aliran Ringan (LRT3),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Hari Korporat Tahunan CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB) di sini hari ini.

Johari berkata, walaupun unjuran menyeluruh nampak positif, namun kerajaan menyedari cabaran di peringkat global.

Ujarnya, kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi China seperti dijangkakan dan ke­tegangan geopolitik yang semakin meningkat di Asia Barat dan Asia Utara, di samping dasar-dasar Amerika Syarikat mungkin memberi risiko ke atas ekonomi global secara keseluruhannya.

“Secara langsung akan memberi kesan ke atas Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka.

“Bagi memastikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan dalam mendepani kemunculan trend mega, negara perlu serius menggunakan ekonomi digital sebagai antara teras baharu dalam menyokong ekonomi yang berjaya dibangunkan selama ini,” katanya.

Johari menambah, Malaysia berusaha untuk menjadi penggiat terkemuka dalam ekonomi baharu tersebut dengan pendirian diambil bukan disebabkan negara lain beralih fokus kepada teknologi baharu dan Revolusi Perindustrian ke-4, sebaliknya melihat merit dalam menguasai ekonomi digital  bagi memanfaatkan potensi pertumbuhan negara.

“Sebagai  contoh, sejak k­ebelakangan ini, ekonomi digital negara telah meningkat berkali ganda dengan sumba­ngannya kepada KDNK menghampiri sasaran 20 peratus menjelang tahun 2020,” kata­nya. - Bernama