Bank pusat menerusi satu kenyataan berkata, permintaan sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, dengan soko­ngan yang berterusan daripada sektor luaran.

“Dari segi penawaran, kesemua sektor ekonomi terus berkembang, kecuali sektor perlombo­ng­an,” katanya di sini semalam.

Menurut BNM, kadar purata inflasi adalah sebanyak 3.7 peratus berbanding 2.1 peratus sebelumnya.

Pasaran kewangan domestik secara keseluruhan mengalami turun naik yang lebih rendah di tengah-tengah sentimen pasaran yang bertambah baik.

Katanya, institusi kewangan domestik mengekalkan kualiti aset dan tahap keberuntungan yang kukuh.

“Secara agregat, sektor perniagaan dan isi rumah terus menunjukkan kemampuan yang kukuh untuk membayar balik hutang dengan keadaan kredit dalam sistem perbankan domestik kekal kondusif untuk menyokong aktiviti ekonomi benar dan peminjam yang layak terus mendapat akses kepada pembiayaan,” ujarnya.

Mengulas mengenai prospek tahun ini, BNM berkata, pertumbuhan ekonomi dijangka terus menggalakkan dengan permintaan dalam negeri kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

“Jangkaan bahawa kadar pertumbuhan global akan menjadi lebih pantas terus memberikan manfaat kepada eksport Malaysia, sekali gus menghasilkan limpahan positif terhadap kegiatan ekonomi dalam negeri.

“Selain itu, inflasi keseluruhan dijangka menjadi sederhana pada tahun ini, mencerminkan kesan faktor kos global yang le­bih kecil serta ringgit yang lebih kukuh berbanding dengan tahun 2017,” katanya.

Tambah bank pusat, tekanan menaik yang wujud berikutan keadaan permintaan yang teguh akan dibendung oleh kapasiti lebihan dalam pasaran pekerja di samping pelaburan yang berterusan untuk pengemba­ngan kapasiti pengeluaran.

“Walau bagaimanapun, trajektori inflasi keseluruhan akan te­rus dipengaruhi oleh trend harga minyak dunia yang masih amat tidak menentu,” tegasnya.