Ketua Misi bagi Malaysia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Nada Choueiri berkata, pertumbuhan mantap itu dipacu oleh permintaan global yang kukuh bagi sektor elektronik dan perdagangan komoditi yang bertambah baik seperti minyak serta gas.

“Bagi faktor domestik, sektor pekerjaan yang mapan telah merangsang penggunaan swasta, selain pelaburan kukuh yang turut memacu pertumbuhan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh IMF Country Focus di sini semalam.

Menurut Choueiri, dengan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.8 peratus pada 2017, menjangkaui jangkaan sebenar, negara ini turut dilihat berada pada landasan kukuh untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Ia bakal didorong oleh pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11 dari tahun 2016 hingga 2020 yang menggariskan peningkatan produktiviti dan menggalakkan lebih banyak inovasi sebagai objektif teras bagi pelan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Choueiri berkata, dengan hutang awam Malaysia yang terus mencatatkan penurunan, IMF turut mengesyorkan kerajaan untuk meningkatkan perolehan berbanding mencapai sasaran tersebut menerusi pengurangan perbelanjaan awam.

Menurutnya, bagi sepanjang tiga tahun lepas, defisit kerajaan persekutuan telah berkurang daripada 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2014, kepada tiga peratus pada tahun 2017.

“Pengurangan defisit ini dicapai sebahagian besarnya menerusi pemotongan perbelanjaan dan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan pada tahun 2015,” jelasnya.