Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, pihaknya kini mempunyai 73 cawangan dan penambahan cawangan baharu itu akan menjadikan keseluruhan cawangan Econsave sebanyak 80 buah.

Jelasnya, langkah tersebut selaras dengan keperluan semasa syarikat yang memfokuskan kepada pengguna di pe­ringkat bawahan hingga pertengahan.

“Tujuh cawangan baharu itu adalah di Tampin; Taman Teratai, Ampang; Alma, Bukit Mertajam; Jerantut; Aulong, Tai­ping; Bagan Serai dan di Scoot Garden, Jalan Klang Lama.

“Dengan pembukaan cawangan baharu ini, kami yakin dapat meningkatkan perolehan syarikat pada tahun ini dengan sasaran pertumbuhan satu angka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis penyampaian hadiah Pe­raduan Wave & Win Econsave di Econsave Kampung Jawa di sini semalam.

Pada majlis berkenaan, Lau Hui Hua, 66, dari Kuching, Sarawak memenangi hadiah utama iaitu sebuah kereta Toyota Vios.

Mengulas lanjut mengenai majlis tersebut, Mas Imran berkata, peraduan yang bermula pada 15 Januari hingga 15 April lalu itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM250,000.

“Peraduan ini dianjurkan bagi mengga­lakkan pengguna membeli-belah menggunakan kad debit di Econsave.

“Sejak hujung tahun lalu, kami telah memperkenalkan sistem pembayaran menggunakan MyDebit di semua ca­wa­ngan Econsave seluruh negara,” ujar­nya.